"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zulkifli Nordin ,Bila keluar KeADILan, segala komen jadi tunggang langgang


ZULKIFLI YAHAYA
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin meminta Datuk Seri Anwar menyerahkan sampel DNA bagi membuktikan ketua pembangkang itu bukan lelaki Y yang sampel DNAnya dijumpai dalam dubur Saiful Bukhari.

“Ia jalan singkat untuk Anwar ke Putrajaya,” sindir Zulkifli. Dia adalah peguambela Anwar suatu masa dulu. Jika sekarang dia masih setia bersama Anwar, semua orang dapat bayangkan apa pula kata-katanya. Rakyat Malaysia tidak dibenarkan buat apa-apa ulasan mengenai isu liwat II Anwar yang sedang dibicarakan itu. Ia boleh dianggap menghina mahkamah.




Namun ramai yang tidak lupa akan kes liwat I lebih sedekad lalu. DNA Anwar dijumpai bercampur dengan DNA seorang wanita di atas tilam yang diusung ke mahkamah saban hari. Seluruh pemimpin reformasi dan para peguam bela Anwar berusaha menjelaskan kepada rakyat bahawa ia konspirasi untuk memalukan Anwar. DNA boleh dikutip dengan mudah dari mana-mana bahagian manusia untuk diletakkan di mana-mana. Hujah yang kita dengar dari mahkamah hingga ke pentas-pentas ceramah itu masih terngiang-ngiang di telinga.

Jika seandainya Zulkifli masih setia bersama Anwar sekarang, maka hujah dan saranannya pada Anwar tentulah tiada beza dengan hujahnya lebih sedekad lalu. Cakapnya yang berubah haluan bagai membuat pusingan ‘U’ seolah-olah dahulu dia bukan peguambela Anwar.

“Sebenarnya ini adalah peluang terbaik Anwar untuk membuktikan kesuciannya. Jadi beri sahaja DNA. Apa yang masalah besar sangat,” ujar Zulkifli kini. Jika Zulkifli versi lama menjawab, jawapan yang boleh diagak ialah, “Masalah besarnya DNA lelaki Y boleh diambil dengan mudah di mana-mana bahagian lelaki itu kerana lelaki itu mungkin pernah berada dalam tahanan mereka.”

Seluruh negara tiba-tiba dikejutkan dengan demonstrasi bersiri orang-orang upahan Umno yang mendesak Anwar menyerahkan sampel DNA. Demonstrasi atau tunjuk perasaan yang tidak pernah dihalalkan di Malaysia tiba-tiba menjadi halal. Polis tidak berbuat apa-apa untuk menangkap penunjuk perasaan itu. Undang-undang negara ini sudah lama begitu. Apa saja yang dibuat untuk kepentingan Umno akan jadi halal serta merta.

Zulkifli bukan lagi peguambela Anwar. Semua cakap-cakapnya tidak terikat dengan tanggungjawab untuk menjaga hati sesiapa. Cuma apa yang menghairankan ialah apabila mereka keluar dari kelompok pembangkang dan cenderung hati untuk bersama dengan Umno, maka segala komen yang dikeluarkan sama dungu dengan pemimpin-pemimpin Umno yang lahir ke dunia sebagai penganut Umno.

Gara-gara perkembangan terakhir di mahkamah tidak memihak kepada sibedebah Saiful Bukhari, BN jadi gelisah. Sumber DNA Anwar yang diambil secara tidak sah ditolak. Penolakan DNA tersebut membayangkan bahawa hakim bukan dari jenis yang boleh diperalatkan untuk kepentingan nafsu serakah pihak tertentu. Jika Anwar tidak jadi dipenjarakan ia sungguh memeningkan Najib.

Hosni Mubarak telah menenjarakan calon Presiden Mesir bertahun-tahun lamanya. ‘Kesalahan’ orang itu ialah kerana menjadi musuh kepada Hosni sedangkan dia bukan ancaman pun. Hosni boleh menang lebih 90 peratus menunjukkan dia sangat kuat.

Najib dan partinya tidak sekuat Hosni. Dia cuma meraih undi popular lebih sedikit dari 50 peratus. Jika Hosni yang kuat boleh tumbang, apalah yang diharapkan oleh Najib untuk terus berkuasa dalam keadaan seteru utamanya yang berkarisme lepas bebas. Maka dengan lepasnya Anwar dari disumbat ke penjara boleh menyebabkan Najib serta seluruh pemimpin BN tidak lena tidur. Kerana itulah manusia bernama Anwar mesti dilenyapkan dari persada politik. Jika tidak jasadnya, pilihan yang ada ialah imejnya mesti dihancurkan. Tunjuk perasaan halal bersiri di seluruh negara sekarang ini yang mendesak Anwar serahkan sampel DNA adalah atas kehendak Umno.

Dari perspektif Islam isu Anwar tidak susah untuk dirungkai. Seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah dan kesilapan hakim membebaskan orang yang bersalah adalah lebih baik dari kesilapan hakim menghukum orang yang tidak bersalah.

Sebab itu kaedah mendapatkan bukti dalam hukum hudud terhadap pesalah zina sangat rumit. Empat orang saksi yang adil melihat dengan terperinci akan perlakuan zina tidak mungkin berlaku secara biasa kerana jika saksi tersebut tidak mencegah dari berlakunya zina maka secara automatik saksi tersebut jatuh fasik.

Jika suspek zina terbebas dari hukuman, tidak bermakna keadilan tidak terlaksana kerana mahkamah Allah di akhirat adalah maha adil. Tiada manusia yang terlepas dari pengadilan tersebut. Tidak berlaku di akhirat DNA orang yang tidak bersalah dipalitkan kepada orang yang menjadi mangsa rogol, liwat atau zina.

Jika tahu Allah Maha Adil maka kenapa Zulkifli Nordin serta juhalak-juhalak Umno nampak macam beriya-iya sangat nak beritahu dunia bahawa Anwar seorang peliwat? Apakah kepentingan mempertahankan kuasa dan tembolok lebih tinggi nilainya dari mempertahankan prinsip Islam? 


Selain dari Datuk Zaid Ibrahim, semua pemimpin KeADILan yang keluar parti sekonyong-konyong bercakap macam mereka Umno tulen. Segala komen mereka kini adalah komen yang pernah mereka perangi sewaktu menjadi pemimpin KeADILan. Mereka semacam telah disihir.

Setiausaha Agung KeADILan, Saifudin Nasution membongkar rahsia N. Gobalakrisnan keluar parti . Jika benar dakwaan itu maka ‘sihir’ yang digunakan terhadap bekas pemimpin KeADILan tersebut ialah habuan duniawi.

Orang macam Gobala dan rakan-rakan yang sefikrah dengannya tidak perlu dihairankan sangat kerana mereka tiada aqidah Islam. Tapi pelik sungguh kalau orang macam Zulkifli Nordin semacam tidak peduli lagi soal hukum apabila memberi komen.

Banyak sangatkah habuan duniawi yang diperolehi berbanding balasan di akhirat terhadap para pendusta? Fikir-fikirkanlah Zul Nordin sementara pintu taubat masih terbuka.

Tiada ulasan: