"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Trauma dicabul 'ayahanda' miang

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penghidap barah payu dara trauma selepas menjadi mangsa gangguan seksual majikan yang juga seorang figura bergelar 'ayahanda' di Selangor.

Ana, 49, berkata, dia mengenali lelaki yang berusia 70-an apabila pernah bekerja di syarikat membekal buruh asing milik lelaki itu pada 2021 namun meletakkan jawatan berikutan masalah kesihatan dialami anaknya.

Katanya, ketika itu lelaki itu memang sudah dikenali dalam kalangan pekerja dengan sifatnya yang 'gatal' kerana sering bercakap perihal lucah namun ia dianggap sebagai 'gurauan orang tua'.

"Sejak tahun lalu saya mula bekerja semula dengan lelaki itu tetapi sebagai setiausaha di sebuah persatuan Islam dan dia sebagai pengerusi. Saya mulanya berasakan lelaki itu tidak berani membuat perkara bukan-bukan atas nama persatuan.

"Malangnya tabiat miang lelaki itu masih sama, dia cuba pegang tangan, dagu dan bahagian belakang namun saya sering menjauhkan diri dan mengelak daripada berada berdua di pejabat.

"Namun sekitar Mei, lelaki itu lebih agresif dan bertindak meraba buah dada saya daripada belakang ketika di pejabat," katanya kepada Harian Metro.

Ana yang berasakan maruahnya dipermainkan lantas membuat laporan kepada polis malah meminta rakan sekerja yang juga didakwa sering diserang secara seksual oleh suspek untuk melaporkan perkara itu.

Katanya, pada mulanya dia berasa takut untuk membuat laporan namun atas sokongan rakan dan ahli persatuan lain dia memberanikan diri untuk tampil.

Bagaimanapun katanya, rata-rata rakan sekerja enggan membuat laporan kerana menganggap lelaki itu seperti 'bapa-bapa' atau 'datuk-datuk' malah ada yang menganggap perbuatannya tidak lebih dari gurauan.

"Kes membabitkan ayahanda ini banyak berlaku tetapi hanya beberapa orang mangsa sahaja yang berani tampil membuat aduan kerana kononnya mahu 'jaga' nama ayahanda.

"Tapi sampai bila hendak tutup perbuatan keji ini? Kita kena bagi pengajaran kerana nama persatuan Islam, gelaran 'ayahanda' itu perlu selari dengan perbuatan, wanita juga ada maruah. Ayahanda patut lindungi golongan wanita bukan aniaya," katanya.

Ana berkata, sehingga kini dia masih menunggu perkembangan terkini hasil siasatan berhubung perkara itu dan berharap suspek dibawa ke muka pengadilan.

"Saya harap wanita lain yang mengalami situasi sama seperti saya supaya tampil ke hadapan, tidak perlu takut dengan pangkat dan gelaran atau ugutan.

"Kita perlu perjuangkan nasib wanita, orang seperti ini sepatutnya dikenakan hukuman yang setimpal," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu pada 16 Jun lalu dan sedang dalam proses perbicaraan.

Tiada ulasan: