"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tujuh petunjuk jelas Israel diambang kehancuran

SITI AISYAH MOHAMAD
Penunjuk perasaan berkumpul di depan Rumah Putih di Washington bagi menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin pada Sabtu. - Foto AFP (Gambar kecil: Muhammad Fauzi)
Penunjuk perasaan berkumpul di depan Rumah Putih di Washington bagi menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin pada Sabtu. - Foto AFP (Gambar kecil: Muhammad Fauzi)
SHAH ALAM - Pemimpin Malaysia, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik masih mempunyai masa untuk membetulkan pendirian dengan memihak kepada Palestin kerana Israel akan hancur.

Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP), Muhammad Fauzi Asmuni berkata, terdapat tujuh petunjuk ringkas bahawa hakikat kemusnahan Israel hampir menjadi kenyataan.

“Antaranya, selain bantuan tunai AS$8 bilion RM37.8 bilion) dari Amerika Syarikat (AS), penghantaran 10,000 tentera dan aset ketenteraan semasa awal Taufan al-Aqsa, negara ini mengambil alih ‘war room’ secara langsung menunjukkan anggapan mereka Israel tidak mampu mempertahankan sendiri.

“Selain itu, kabinet Israel selepas serangan 7 Oktober lalu merupakan gabungan parti pemerintah dan pembangkang yang mana ahli politik Israel bertelagah buat kali pertama ketika menghadapi rakyat Palestin.

“Bacaan mudah dalam persaingan politik, bila seteru bersatu maknanya mereka ada musuh lebih besar yang tidak boleh dihadapi sendirian,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Tambah Muhammad Fauzi, ekonomi Israel juga sedang menuju kehancuran dengan ketiadaan kemasukan pelancong, penerbangan dan lapangan terbang tidak lagi aktif serta kedai-kedai dan hotel sudah mula suram.

“Kos perang dalam masa 20 hari pertama sudah menelan belanja sebanyak AS$25 bilion (RM118 bilion) manakala kos harian pula AS$1.3 bilion (RM6.1 bilion) menunjukkan Israel tidak akan mampu menanggung lagi jika peperangan ini berpanjangan.

“Rakyat Israel turut hilang keyakinan kepada kemampuan negara mempertahankan mereka. Selama puluhan tahun tertanam dalam minda mereka bahawa negara ini terkuat di dunia dan mampu menyerang Iran bila-bila masa.

“Serangan beberapa minit yang menjatuhkan 11 penempatan askar dan 21 penempatan haram Israel sehingga membunuh lebih 1,000 tentera serta menawan lebih 200 tawanan menghilangkan mitos kepercayaan itu dari minda rakyat,” ujarnya.

Menurut Muhammad Fauzi, rakyat Israel yang mempunyai kewarganegaraan lain dan wang juga keluar beramai-ramai kembali ke negara asal selain serangan membabi buta terhadap orang awam hanya dibuat untuk mengembalikan keyakinan bahawa mereka masih kuat.

“Pergerakan ahli politik dan rakyat untuk menjatuhkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bertambah kuat apabila semua menafsirkan pemimpin ini sudah hilang kredibiliti untuk memimpin.

“Netanyahu tidak ada pilihan selain meneruskan serangan sebagai alasan untuk menangguhkan pilihan raya kerana sumber mengatakan sasarannya adalah 50,000 kematian di Palestin dan ada bacaan beliau akan jatuh dalam tempoh terdekat.

“Pergerakan Iran dan sekutunya Syria; Hizbullah, Lubnan dan Houthi, Yaman sudah berlaku, mungkin juga Iraq tidak lama lagi. Semua mendapat peluang keemasan ini untuk meluaskan projek Hilal Syiah (Syiah Raya) mereka,” jelasnya.

Katanya, jika negara tersebut bersatu menyerang serentak, AS dan sekutunya yang juga sedang sibuk dengan isu Ukraine dan lain-lain belum tentu mampu menyelamatkan Israel.

“Sebahagian pimpinan Fatah sudah mula mengubah cara pandang mereka dan negara Arab seperti Mesir juga sudah menunjukkan ketegasan terhadap Israel dalam beberapa isu kerana sudah membaca arus sekarang bukan lagi berpihak negara berkenaan.

Tiada ulasan: