"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Agenda utama Bersatu pinda perlembagaan untuk halang Ahli Parlimen sokong PM

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bersatu berhasrat meminda perlembagaan parti bagi menyekat Ahli Parlimennya daripada terus menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan Razali Idris, berkata perkara itu menjadi agenda utama Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), malam ini.

Langkah itu, katanya merujuk tindakan terbaharu Ahli Parlimen Tanjong Karang Zulkafperi Hanapi yang menyatakan sokongan kepada perdana menteri.

“Cuma kita dimaklumkan agenda utama nanti adalah nak pinda perlembagaan tentang tindakan mengalih sokongan kepada PM. Bagaimana nak atasi masalah ini, itu adalah perkara pokok.

“Tidak timbul juga isu Perikatan Nasional (PN) nak sokong kerajaan sebab ia langsung tak terlintas dalam minda kita,” katanya kepada Sinar Harian.

Mesyuarat MPT Bersatu akan berlangsung pada 8.30 malam ini di Ibu Pejabat PN di Publika, Kuala Lumpur.

Pada 17 Nov tahun lalu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, setiap parti politik digesa meminda perlembagaan masing-masing, yang mana mana-mana Ahli Parlimen membelakangkan keputusan parti dikira meletak jawatan daripada parti, sekali gus membawa kepada pengosongan kerusi.

Katanya, menjadi “titik kelemahan” kepada Bersatu kerana tidak meminda perlembagaan berkait perkara itu.

Selain Zulkafperi, lima Ahli Parlimen Bersatu secara terbuka isytihar sokongan kepada perdana menteri adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Zahari Kechik (Jeli).

Selain itu, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Hari ini, Anwar mengumumkan Syed Abu Hussin dilantik mengetuai jawatankuasa berkaitan isu menangani harga makanan dan kos sara hidup, iaitu kluster di bawah Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol).

Tiada ulasan: