"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penjual pisang goreng bakal didakwa menculik budak

Malaysiakini 

Seorang penjual pisang goreng ditahan polis kerana didakwa menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di Jeram, dekat Sungai Buloh, Selangor.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar berkata kanak-kanak terbabit dilaporkan hilang kira-kira jam 6.30 petang pada 19 Julai lalu di Taman Ikan Emas, Kuala Selangor.

Bagaimanapun, mangsa bersama seorang lagi kanak-kanak lain telah dikembalikan ke Taman Kelisa yang terletak berhampiran pada hari yang sama.

Kata Hussein suspek merupakan seorang warga Malaysia berusia 32 tahun dan dipercayai melarikan kanak-kanak terbabit menaiki Perodua Bezza hitam.

"Bertindak atas maklumat, kira-kira jam 2.40 pagi anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Selangor berjaya mengesan dan menangkap suspek di Jalan Pawang Jalil, Jeram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hussein lelaki terbabit merupakan seorang penjual pisang goreng.

Katanya kertas siasatan sudah dilengkapkan dan semalam polis mendapat arahan daripada Jabatan Peguam Negara agar suspek didakwa atas dua pertuduhan iaitu kesalahan melarikan kanak-kanak daripada penjaganya yang sah.

"Suspek akan dituduh pada pagi esok di Mahkamah Majistret Sungai Besar mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

"Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara tujuh tahun dan denda," katanya.

Tiada ulasan: