FMT Reporters
Suspek disyaki berpakat dengan orang dalam agensi kerajaan dan keluarkan wang peruntukan untuk keperluan peribadi.
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah reman pagi tadi. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA: Dua individu termasuk seorang pegawai kanan kementerian bergelar Datuk direman kerana disyaki menyeleweng dana kerajaan berjumlah kira-kira RM400,000.
Suspek lelaki bergelar Datuk berusia lingkungan 50-an direman empat hari hingga 13 Sept, manakala seorang lagi suspek lelaki berusia lingkungan 30-an direman dua hari hingga esok.
Sementara itu, seorang lagi suspek lelaki berusia lingkungan 40-an yang juga penjawat awam turut ditahan tetapi dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sumber berkata, ketiga-tiga suspek, salah seorangnya pegawai kanan kementerian bergelar Datuk ditahan lewat malam semalam ialah setiausaha bahagian yang bertanggungjawab mengawal selia sebuah agensi badan berkanun kerajaan.
Katanya, dua yang lain adalah pegawai khas dan pemandunya dan mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.
“Suspek utama dipercayai melakukan perbuatan itu baru-baru ini dengan mengemukakan kertas cadangan program tersebut untuk kelulusan peruntukan dan kemudian disalurkan kepada sebuah agensi kerajaan berkaitan.
Suspek turut disyaki berpakat dengan orang dalam agensi kerajaan tersebut dan mengeluarkan wang peruntukan secara tunai yang bernilai ratusan ribu ringgit, kemudian digunakan untuk keperluan peribadi, katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan