Izz Laily Hussein
bhnews@bh.com.my
Foto ihsan keluarga Azman Sulaiman
JOHOR BAHRU: Keluarga kepada seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental, menawarkan ganjaran RM1,000 kepada orang ramai yang dapat menyalurkan maklumat sehingga lelaki itu dijumpai semula setelah dilaporkan hilang sejak hujung bulan lalu.
Lelaki itu yang dikenali sebagai Azman Sulaiman, 48, dikatakan tidak pulang ke rumah selepas kali terakhir dilihat pada 22 Ogos lalu.
Adiknya, Mohd Azlan, 38, berkata walaupun OKU mental, Azman sebelum ini masih mampu pulang sendiri ke rumah sekiranya keluar seorang diri, terutama ketika menetap di Kampung Melayu Majidee, di sini.
"Sebelum ini, abang (Azman) tinggal dengan mak di Kampung Melayu Majidee. Hanya sejak dua tahun lalu, selepas abang menghidap kencing manis, dia dijaga oleh abang sulung, Azlee, di Pangsapuri Desa Melayu di, sini.
"Kalau di rumah mak, dia sudah biasa dengan kawasan sekitar situ. Jadi apabila keluar pun, dia tidak pergi jauh dan memang akan pulang sendiri.
"Kami risau dia mungkin belum biasa lagi dengan kawasan tempat tinggal Azlee menyebabkannya terlupa jalan pulang ke rumah. Lebih membimbangkan, keadaan kesihatannya tidak begitu baik," katanya ketika dihubungi.
Menceritakan lanjut, Mohd Azlan berkata, kali terakhir Azlee dikatakan melihat Azman ialah kira-kira jam 8.30 malam 22 Ogos lalu, sebelum beliau tertidur.
"Namun, Azlee beritahu apabila dia terjaga kira-kira jam 10 malam, Azman didapati sudah tiada di rumah. Dia tunggu tetapi Azman tidak juga pulang.
"Kami kemudian berusaha mencari Azman di setiap lokasi yang dia biasa pergi tetapi tidak berhasil hingga kini," katanya sambil memaklumkan laporan polis sudah dibuat pada 23 Ogos lalu susulan kehilangan anak kedua daripada empat beradik itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Azman boleh menghubungi Mohd Azlan melalui talian 012-7924651 atau Azlee (017-7329724).
Sementara itu Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan dibuat keluarga Azman dan siasatan masih dijalankan sebagai kes orang hilang (OH).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan