"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Teknologi Video Dan Kempen Jatuhkan Maruah Seteru Politik



Wira Arjuna
Sekali imbas, ceritanya memang panas – tetapi tidak masuk akal.

Adakah seorang yang begitu terkenal dan menghadapi pertuduhan liwat akan nekad untuk mendapatkan khidmat seorang pelacur di sebuah hotel di tengah-tengah ibu Negara?

Dan, apakah kemungkinan bilik hotel itu pula mempunyai kemudahan rakaman yang begitu canggih sehingga video itu diambil daripada beberapa sudut.

Itulah yang juak-juak Umno dan blogger upahan mahukan rakyat percaya dalam fitnah terbaru terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam percubaan terbaru untuk memusnahkan kredibiliti Ketua Pembangkang berusia 63 tahun itu, seorang yang bergelar “Datuk T” hari ini menyewa kemudahan di Hotel Carcosa yang mempunyai kadar sewa paling mahal di Kuala Lumpur.

Beliau berbuat demikian kononnya untuk membolehkan wartawan menonton video itu sebelum ia dihantar kepada Anwar dan isterinya.

“Datuk T” menggambarkan dirinya sebagai ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mahu menegakkan kebenaran.

Jika itu tujuannya, mengapa tidak diserahkan video itu kepada pihak berkuasa, termasuk Jabatan Agama Islam?

Mengapa tidak terus “melepaskan” video itu untuk disebarkan kepada orang ramai supaya kesahihan video ini dapat dikenal pasti secepat mungkin?

Kenapa harus tunggu seminggu atas alasan memberi peluang kepada Anwar berundur secara terhormat?

Jelas tujuan untuk “menyembunyikan’ video ini daripada khalayak ramai adalah hanya untuk mendapatkan publisiti maksimum untuk memalukan Anwar, sebelum kesahihan video diperinci oleh golongan profesional.

Bagi mereka yang mengenali selok belok politik Umno dan NGO upahan parti itu, persoalan utama ialah sebagus mana kualiti video fitnah ini. Dalam erti kata lain, apakah teknologi yang digunapakai untuk menghasilkannya.

Pada perbicaraan Anwar yang pertama tahun 1998, pihak pendakwaraya menjanjikan bukti video untuk mensabitkan perlakuan seks Anwar.

Namun akhirnya pihak pendakwaraya sendiri sedar bahawa “video” yang dimaksudkan itu direkacipta dengan kualiti yang begitu buruk dan tidak akan dapat dipertahankan di mahkamah.

Justeru, tidak ada bukti sebegitu ditampilkan, sungguhpun ia dijanjikan.

Sejak itu, teknologi video sudah jauh beranjak ke depan untuk memanfaatkan sesiapa yang bercadang membuat video membabitkan personaliti tertentu.

Kepada mereka yang arif dalam teknologi video, teknik memasang wajah orang tertentu melakukan sesuatu yang haram bukan perkara mustahil, namun ia adalah sesuatu yang boleh dibuktikan menerusi aplikasi teknologi yang ada.

Jika Datuk T “ikhlas” menyelamatkan negara, video itu sudah tentu berada di tangan polis, dan Jabatan Agama Islam serta pakar-pakar yang boleh memperakukan kesahihannya.

Sebaliknya tidak. Datuk T akan “menyimpan’ video itu untuk seminggu manakala polis dan pihak berkuasa Islam pula tidak menunjukkan sebarang inisiatif untuk menyiasat dakwaan beliau.

Jelas tangan musuh-musuh politik Anwar sekali lagi terserlah dalam satu lagi percubaan untuk mengaibkan beliau dan keluarganya.

Dengan bertindak demikian, seteru-seteru politik Anwar mahu merencat kempen beliau dan Pakatan Rakyat di Sarawak menjelang pilihanraya negeri di situ.

Lawan politik Anwar juga amat mengharapkan “pendedahan” video seks itu akan memberikan nafas baru kepada tuduhan liwat terhadap beliau yang kini terjejas selepas hakim memutuskan polis memperolehi bukti sampel DNA terhadap Anwar secara tidak sah.

Amat mencurigakan apabila Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein awal-awal lagi menafikan pembabitan polis dalam video berkenaan.

“Jadi jangan ada spekulasi bahawa polis yang buat (video) ini, saya belum tengok dan mungkin tidak akan tengok,” kata beliau.

Hanya Hishamuddin tahu kenapa beliau bingkas menafikan pembabitan polis walhal belum pun ada tuduhan sebegitu dibuat.
-tvsnews-

Tiada ulasan: