"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja Malaysia dipenjara seumur hidup di UK, taksub alat penukul dan pembunuhan

BuletinTV3 
Remaja warga Malaysia, Thomas Wei Huang. – FOTO: Devon and Cornwall Police
LONDON: Seorang remaja warga Malaysia yang menyerang dua pelajar di United Kingdom (UK) dengan menggunakan tukul, ‘mempelajari’ tindakan sedemikian selepas melakukan penyelidikan secara dalam talian mengenai pembunuhan bersiri dan kaedah membunuh.

Memetik laporan akhbar Daily Mail, Thomas Wei Huang, 17, bertelagah dengan seorang daripada mangsa selepas dihina sewaktu kelas mata pelajaran Sains, yang turut membabitkan ketegangan dengan seorang lagi pelajar perempuan.

Semasa perbicaraan yang mengakibatkan dia dihukum penjara seumur hidup, mahkamah mengesahkan Wei Huang begitu taksub dengan tukul dan pembunuh ganas.

Seorang pakar psikologi mencadangkan bahawa tindakan Wei Huang boleh dikaitkan dengan keganasan semasa tidur.

Namun, seorang lagi pakar berhujah bahawa Wei Huang mungkin dalam keadaan sedar semasa melakukan serangan itu .

Menurut Wei Huang, dia ada menyimpan tukul di tepi katilnya untuk melindungi dirinya daripada ‘kiamat zombi’, sambil menambah kesal dengan tindakannya itu.

Peguam Wei Huang, Kerim Fuad KC, menyifatkan kes terbabit sebagai tragis dan luar biasa, memetik tekanan melampau akibat peperiksaan, isu peribadi dan dakwaan eksploitasi seks antara faktor serangan itu berlaku.

Menurut laporan berita Sky News pula, Wei Huang yang ketika itu berusia 16 tahun, menyerang dua remaja lelaki di asrama Sekolah Blondell dekat Tiverton, Devon pada Jun tahun lalu.

Ekoran itu, kedua-dua mangsa mengalami keretakan tengkorak dan kecederaan pada tulang rusuk, limpa dan paru-paru, manakala seorang lagi mangsa mengalami tusukan pada paru-parunya.

Selain itu, Wei Huang juga menyerang guru yang cuba campur tangan dengan memukulnya berulang kali dekat bahagian kepala dengan tukul.

Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Johannah Cutts berkata, Wei Huang merancang serangan terlebih dahulu, sambil menegaskan yang remaja itu mengetahui akibat yang boleh membawa maut kesan daripada tindakannya.

Tegas Cutts lagi yang tindakan Wei Huang menimbulkan risiko besar untuk mengulangi tingkah lalu sama sehingga mengundang tahap bahaya yang tinggi kepada orang ramai.

Wei Huang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan hukuman penjara minimum 12 tahun.

Pada mulanya identiti Wei Huang dirahsiakan daripada orang ramai sehinggalah namanya dibenar untuk didedahkan mengambil kira peningkatan kes seumpama itu baru-baru ini. – AGENSI

Tiada ulasan: