"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kanak-kanak ditemui tidak bernyawa, dibaluti selimut

Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mahaizura Abd Malik
am@hmetro.com.my
HILMI (tengah) puji semangat  ditunjukkan penyelamat.
HILMI (tengah) puji semangat ditunjukkan penyelamat.
Hulu Selangor: Dalam pekat malam hanya diterangi lampu suluh penyelamat, pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kapten Hilmi Husman menemui mayat kanak-kanak yang tertimbus dalam keadaan masih dibaluti selimut.

Tidak jauh dari situ, satu lagi penemuan meruntun jiwa apabila beliau menemui mayat pasangan ahli keluarga dalam keadaan berpelukan, seolah-olah cuba melindungi satu sama lain di saat-saat akhir hayat.

Itu antara memori tragis sukar dilupakan beliau setiap kali mengenangkan kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor pada 2022.

"Ia pengalaman yang paling sukar saya lupakan. Ia tetap bermain di fikiran sehingga kini," katanya yang ketika kejadian bertugas sebagai Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Hulu Selangor.

Beliau kini berkhidmat sebagai Ketua Jurulatih Program Akuatik di Akademi Latihan Pertahanan Awam (ALPHA), Bangi, Selangor.

Mengimbas semula tragedi, pada malam sebelum kejadian, beliau baru sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat pengoperasian bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Hulu Selangor.

"Sebaik menerima panggilan kecemasan, saya terus mengarahkan anggota menyediakan peralatan sesuai dan menghubungi polis untuk pengesahan kejadian.

"Maklumat awal menyatakan hampir 100 mangsa dipercayai terbabit dalam kejadian itu. Angka mengejutkan dan menandakan skala tragedi amat besar.

"Sebaik tiba di lokasi, situasi gelap gelita dan penuh ketidakpastian. Hati saya ketika itu hanya fokus untuk mencari dan menyelamat secepat mungkin. Ini bencana terbesar pertama yang saya hadapi," ujarnya.

Sebagai komander operasi APM dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, beliau berada di lokasi sepanjang sembilan hari operasi penuh dijalankan.

Antara cabaran paling besar adalah keadaan geografi lokasi kejadian dan kedalaman mangsa ditimbus tanah runtuh.

"Laluan dipenuhi tanah selut, pencahayaan sangat terhad, dan kedudukan mangsa terlalu dalam. Semua ini melambatkan pencarian," katanya.

Walaupun berdepan risiko dan keletihan ekstrem, beliau memuji semangat luar biasa semua pasukan penyelamat.

"Momen paling menyentuh hati ialah melihat semua pasukan penyelamat tanpa mengira agensi bekerjasama tanpa mengenal penat demi membawa keluar setiap mangsa," katanya.

Bagi Kapten Hilmi, pengalaman itu bukan sekadar tugasan operasi, tetapi detik yang mengubah perspektif hidupnya tentang erti kemanusiaan dan pengorbanan.

Tiada ulasan: