Fareez Azman

Dua ekor ungka yang cuba diseludup oleh seorang wanita tempatan di KLIA, semalam. – FOTO: Ihsan AKPS
KUALA LUMPUR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mengagalkan cubaan seorang wanita menyeludup dua ekor ungka putih dalam pemeriksaan di KLIA Terminal 1 semalam.
Menurut AKPS dalam satu kenyataan hari ini, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam apabila anggota AKPS menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah bagasi milik seorang penumpang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Mumbai.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua ekor hidupan liar yang disyaki daripada spesies Hylobates spp (ungka) telah ditemui di dalam bagasi milik seorang penumpang wanita warganegara Malaysia.
“Susulan penemuan tersebut, seorang wanita tempatan berusia 38 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan. Anggaran nilai sitaan bagi hidupan liar berkenaan adalah sebanyak RM6,000,” jelas kenyataan itu.
Wanita berkenaan disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).
Manakala hidupan liar terbabit telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.
“AKPS akan terus memperketatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan di semua pintu masuk dan keluar negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan, khususnya yang melibatkan hidupan liar dilindungi, demi memelihara khazanah biodiversiti negara,” jelas AKPS lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan