Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditemui meninggal dunia dipercayai terjatuh di Dewan Canselor, di sini, hari ini.
Penuntut lelaki berusia 23 tahun ditemui kira-kira 10 pagi oleh dua pekerja penyelenggaraan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati mangsa ditemui terbaring di atas pentas di dalam Dewan Canselor oleh pekerja bekenaan yang sedang melakukan tugas.
"Pegawai perubatan dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKKS) yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia pada 11.10 pagi.
"Pemeriksaan luaran mendapati tiada sebarang kecederaan mencurigakan, melainkan kesan akibat terjatuh," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah turut berada di lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
"Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa dilihat terjatuh pada 6.09 petang Rabu lalu.
"Setakat ini, tiada saksi awam yang menyaksikan kejadian berkenaan dan kes ini diklasifikasikan sebagai Kematian Mengejut (SDR)," katanya yang memaklumkan siasatan lanjut masih diteruskan.
Sementara itu, Pusat Komunikasi Korporat UMS dalam kenyataan mengesahkan kematian seorang penuntutnya di dalam kampus itu.
Pihaknya turut menunggu hasil siasatan lanjut daripada pihak berkuasa dan merayu orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian mahupun kenyataan tidak sahih berkaitan insiden.
"Kehilangan ini amat dirasai oleh seluruh warga universiti. Sehubungan itu, UMS merayu kepada orang awam agar menghormati privasi keluarga mangsa serta tidak membuat sebarang spekulasi.
"Keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan UMS. Pihak universiti komited untuk memastikan persekitaran kampus yang selamat dan kondusif melalui pematuhan ketat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan serta pemantauan berterusan," katanya.
UMS turut menzahirkan takziah kepada keluarga penuntut berkenaan dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam siasatan kes berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan