Alias Abd Rani
MUAR: Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuan ketika membeli makanan, minggu lalu.
Tertuduh, Azlan Sa’at, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menyentuh pelajar berusia 13 tahun di hadapan sebuah sekolah menengah dalam daerah ini pada jam 6.45 petang, 8 Disember lalu.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan terhadap mangsa sama.
Semua kejadian itu juga berlaku pada tarikh, waktu dan lokasi sama.
Berdasarkan laporan, mangsa mendakwa diraba di hadapan sekolah ketika membuat pembayaran dan kejadian itu turut disaksikan rakannya.
Keesokannya, mangsa bersama ibunya memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah sebelum dinasihatkan membuat laporan polis.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.
Kes disebut semula 23 Februari ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan