Lynelle Tham
Rombakan Kabinet kali ini lebih menyeluruh sejak Anwar Ibrahim memegang jawatan pada 2022.

Pertukaran dalam rombakan membabitkan Steven Sim daripada DAP yang diberikan kementerian kurang menonjol manakala MCA dan MIC kekal tanpa jawatan, selain Dr Zaliha Mustafa dan Na’im Mokhtar yang digugurkan.
PETALING JAYA: Ada yang beruntung dan ada juga yang menerima tamparan dalam rombakan Kabinet kedua Anwar Ibrahim diumumkan pada Selasa.
Ada juga beberapa parti dalam kerajaan perpaduan yang tidak menerima sebarang jawatan.
Rombakan itu menyaksikan tujuh menteri baharu dilantik, tiga menteri diberi portfolio baharu, tujuh timbalan menteri bertukar peranan, sembilan timbalan menteri baharu dilantik serta dua menteri dan seorang timbalan menteri digugurkan.
Ini menjadikan rombakan kali ini lebih menyeluruh berbanding rombakan pada Disember 2023 sebelum ini. Anwar memegang jawatan sebagai perdana menteri sejak November 2022.
FMT meninjau siapa yang paling untung dan paling rugi:
Untung – PKR
PKR, yang dipimpin Anwar sebagai presiden, secara jelasnya menjadi pihak yang untung. Empat pemimpinnya dinaikkan ke jawatan menteri penuh, manakala beberapa yang lain dilantik sebagai timbalan menteri.
Ia berlaku di sebalik pertelingkahan dalaman parti itu selama beberapa bulan semasa dan selepas pemilihan parti pada Mei, yang memuncak dengan peletakan jawatan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai menteri selepas gagal mempertahankan jawatan kepimpinan parti.
Naib presiden PKR R Ramanan dilantik sebagai menteri sumber manusia, ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud mengetuai hal ehwal Sabah dan Sarawak, Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Taufiq Johari sebagai menteri belia dan sukan, manakala ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Akmal Nasir menggantikan Rafizi sebagai menteri ekonomi.
Pelantikan ini menjadikan PKR kini mempunyai sembilan menteri dalam Kabinet, berbanding lapan sebelum rombakan, tidak termasuk Tengku Zafrul Aziz yang meninggalkan Umno untuk menyertai PKR pada Ogos lalu.
Tengku Zafrul berkhidmat sebagai menteri pelaburan, perdagangan dan industri (Miti) sehingga penggal keduanya sebagai senator berakhir pada 2 Disember.
Timbalan menteri baharu daripada PKR termasuk R Yuneswaran (perpaduan negara), Chiew Choon Man (pelancongan, seni dan budaya), Syed Ibrahim Syed Noh (sumber asli dan kelestarian alam), serta Sim Tze Tzin (Miti).
Rugi – DAP
Terkesan dengan prestasi buruk dalam PRN Sabah, pengaruh DAP dalam kerajaan persekutuan kini dilihat semakin terhakis.
Dua menterinya dipindahkan ke portfolio yang dianggap ‘kurang penting’.
Hannah Yeoh mengambil alih jawatan menteri wilayah persekutuan selepas tempoh bergolak di Kementerian Belia dan Sukan, ketika Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengenakan sekatan ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan susulan dakwaan pemalsuan.
Daripada menerajui kementerian sendiri, beliau kini berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri. Selain dianggap sebagai ‘penurunan taraf’, beliau juga berdepan cabaran baharu termasuk cadangan Akta Pembaharuan Bandar yang akan menjejaskan pembangunan Kuala Lumpur, serta desakan partinya untuk menghidupkan semula pilihan raya kerajaan tempatan — kedua-duanya dikatakan memberi kesan besar kepada orang Melayu.
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Steven Sim dipindahkan daripada Kementerian Sumber Manusia ke Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang dilihat sebagai penurunan dari segi kepentingan nasional.
Namun, masih ada sedikit ‘pengubat luka’ buat DAP dengan pelantikan Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol sebagai timbalan menteri belia dan sukan.
Pengarah Strategi Kebangsaan DAP Liew Chin Tong kini berkhidmat sebagai timbalan menteri kewangan, menggantikan Lim Hui Ying yang dipindahkan ke Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Sebelum ini, Liew merupakan timbalan menteri di Miti.
Untung – Umno dan PBRS
Umno merampas semula portfolio Miti menerusi salah seorang Naib Presidennya Johari Ghani manakala Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad dinaikkan pangkat sebagai menteri perladangan dan komoditi daripada jawatan sebelumnya sebagai timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.
Ini merupakan keuntungan besar buat parti itu. Portfolio Miti sebelum ini sempat berada di bawah PKR apabila Tengku Zafrul bertukar parti.
Umno turut beruntung dengan kembalinya Ahli Parlimen Paya Besar Shahar Abdullah ke dalam kerajaan sebagai timbalan menteri ekonomi.
Menteri dan timbalan menteri Umno yang lain kekal dengan jawatan masing-masing.
Rakan komponen Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), turut menerima lonjakan besar apabila Presidennya Arthur Joseph Kurup dilantik sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam.
Ini walaupun parti itu hanya memiliki satu kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN, kedua-duanya disandang oleh Kurup.
Rugi – MCA dan MIC
Rombakan Kabinet ini merupakan satu lagi tamparan buat MCA dan MIC. Kedua-dua parti yang sedang menilai semula kedudukan masa depan mereka dalam BN dan kerajaan perpaduan itu sekali lagi tidak mendapat sebarang jawatan.
Terdapat spekulasi bahawa Timbalan Presiden MIC dan Ahli Parlimen Tapah M Saravanan mungkin akan dilantik namun ia tidak menjadi kenyataan.
Pemberian satu jawatan Kabinet kepada PBRS pastinya menambah pedih buat dua parti veteran BN ini, memandangkan parti komponen Sabah itu pernah meninggalkan BN seketika selepas PRU 2018 sebelum kembali menyertai gabungan tersebut pada 2020.
Rugi – Zaliha dan Na’im
Dr Zaliha Mustafa dan Na’im Mokhtar mungkin merupakan antara ‘korban terbesar’ dalam rombakan Kabinet ini. Kedua-duanya sebelum ini berkhidmat sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri — Zaliha menguruskan wilayah persekutuan manakala Na’im bertanggungjawab dalam hal ehwal agama.
Dalam rombakan Kabinet sebelum ini, Zaliha dilantik sebagai menteri kesihatan.
Penguguran itu dibuat ketika perhatian diberikan terhadap cara beliau mengendalikan isu pembangunan semula Kampung Baru, selain peranannya dalam permohonan pengampunan bekas perdana menteri yang dipenjarakan, Najib Razak. Beliau merupakan ahli Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Dalam pada itu, penyingkiran Na’im agak mengejutkan memandangkan bekas ketua hakim mahkamah syariah terbabit baru sahaja mengangkat sumpah untuk penggal kedua sebagai senator dua minggu lalu.
Sebagai menteri hal ehwal agama, beliau sering dilihat sebagai pelantikan tidak berunsur politik, namun turut menerima kritikan daripada kumpulan masyarakat sivil susulan kenyataan kerasnya mengenai isu moral dan perkara melibatkan komuniti LGBTQ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan