FMT Reporters
PETALING JAYA: Suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang atas pertuduhan membunuh anak perempuan mereka berusia lapan tahun pada 17 Ogos lalu.
Tertuduh yang juga bapa tiri dan ibu kandung mangsa, Mohamad Zulhelmy Amirrudin, 29, dan Norfazira Radzi, 30, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Chai Guan Hock.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh adalah bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, menurut Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Nur Anissa Afiera Muhamad Zulhafize di pangsapuri Sandalwood Court, Bandar Tasik Puteri, Rawang, antara 11.51 pagi hingga 3.51 petang, 17 Ogos lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau dipenjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Izairah Zainal mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nor Izairah juga memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 16 Okt ini dan tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut dipercayai dipukul dengan tangan, kaki, tali pinggang, penyangkut baju dan senjata tumpul.
Mangsa disahkan meninggal dunia di rumahnya oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh.
Pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian muka, bibir, paha, dagu dan lutut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan