Polis siasat pegawai bank disyaki laku gangguan seksual
FMT Reporters
Mangsa, wanita berusia 38 tahun, membuat laporan mendakwa diganggu secara seksual oleh pegawai atasannya berusia 52 tahun pada 2021.
Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris berkata, setelah siasatan lengkap, pihaknya akan merujuk kertas siasatan kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat pegawai operasi sebuah bank di Bercham, Ipoh, berhubung gangguan seksual terhadap seorang kerani wanita yang bekerja di cawangan sama.
Ketua Polis Azizi Mat Aris berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 38 tahun itu pada 16 Ogos lepas, mendakwa diganggu secara seksual oleh lelaki berusia 52 tahun di bank terbabit pada 2021.
Polis sudah merakam percakapan mangsa dan suspek, katanya, lapor Harian Metro.
Pihak polis sedang melengkapkan siasatan kes dan akan merujuk kertas siasatan kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Azizi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan membabitkan tingkah laku mengaibkan kehormatan seseorang.
Sementara itu, beliau berkata, polis mengesan satu video tular memaparkan demonstrasi disertai kira-kira 120 individu anjuran Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube) di hadapan premis bank di Taman Tasek Indera.
Katanya, demonstrasi kelmarin tu bertujuan menyuarakan perasaan tidak puas hati atas kegagalan pengurusan bank mengambil tindakan terhadap pegawai operasi yang melakukan gangguan seksual terhadap seorang kakitangannya.
Perhimpunan itu berjalan dengan aman tanpa sebarang pergaduhan atau kekecohan, kata Azizi, menasihati orang ramai agar tidak melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.
Terdahulu dilaporkan Nube mendakwa mangsa digantung tugas kerana melaporkan salah laku pegawai atasannya kepada pengurusan bank.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan