Asrol Awang
am@hmetro.com.my
Pekan: Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun lemas selepas dihanyutkan arus tali air sawah di Kampung Permatang Tepung, Merchong, Nenasi di sini ketika mencari ikan, petang semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa, Muhammad Alif Fahmi Abdullah, yang juga murid Tahun Enam, ditemukan tidak sedarkan diri selepas dihanyutkan arus di tali air berkenaan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, berdasarkan laporan, mangsa pada mulanya keluar mencari ikan bersama ibu serta tiga adiknya sebelum pulang ke rumah kira-kira jam 6 petang.
Bagaimanapun, katanya, mangsa bersama adik lelaki berusia sembilan tahun serta dua rakan kembali ke tali air berkenaan tanpa pengetahuan ibu bapa mangsa.
"Ketika mencari ikan di tali air itu, mangsa dihanyutkan arus sebelum rakan meminta bantuan penduduk kampung dan pencarian dilakukan.
"Mangsa kemudiannya ditemukan kira-kira dua meter di dalam air, kira-kira 20 meter dari tempat kejadian dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa pulang ke rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Nenasi yang membuat pemeriksaan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Pekan untuk bedah siasat.
"Hasil laporan bedah siasat mengesahkan sebab kematian berpunca akibat lemas," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan