"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Budak 12 tahun bawa motosikal terbabas tali air, bayi maut

Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my
Mangsa yang dipercayai dipegang oleh abang kandungnya berusia lapan tahun tercampak ke dalam tali air. FOTO Ihsan Polis
Mangsa yang dipercayai dipegang oleh abang kandungnya berusia lapan tahun tercampak ke dalam tali air. FOTO Ihsan Polis
Bachok: Seorang bayi berusia 15 bulan ditemukan lemas dalam tali air di Kampung Tok Belian, Pengkalan Petah, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 7.20 malam dan sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun membawa lima lagi kanak-kanak menaiki sebuah motosikal roda tiga jenis Suzuki RC110S menghala ke rumah melalui jambatan Kampung Tok Belian.

"Apabila tiba di kawasan tali air, motosikal roda tiga itu dipercayai hilang kawalan menyebabkan mangsa yang dipercayai dipegang oleh abang kandungnya berusia lapan tahun tercampak ke dalam tali air.

"Operasi mencari dan menyelamat dilakukan dengan bantuan Pasukan Bomba Balai Bomba Bachok untuk mengesan mangsa dan lebih kurang pada jam 8.10 malam," katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya, mangsa ditemui di dasar sungai pada kedalaman empat meter daripada lokasi kejadian.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian untuk dibedah siasat dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal akibat 'lemas air'," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Ismail berkata, semakan pihaknya juga mendapati cukai jalan dan insurans motosikal berkenaan sudah tamat tempoh.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau turut menasihatkan semua ibu bapa memantau pergerakan anak-anak dan tidak membenarkan anak-anak berusia dibawah 18 tahun menungganng motosikal tanpa lesen dan cukai jalan tamat tempoh.

"Sekiranya perkara yang sama terjadi, ibu bapa boleh didakwa dibawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 akibat kecuaian," katanya.

Tiada ulasan: