NORLIZAH ABAS
PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengetepikan hukuman mati ke atas banduan akhir dan menggantikannya dengan penjara maksimum 40 tahun kerana membunuh jururawat sembilan tahun lalu.
Dalam kes menyayat hati itu, Mohammad Awari Ahmad, 31, mengelar leher isteri rakannya yang juga anggota polis bantuan sehingga darah keluar membuak-buah sambil disaksikan anak pasangan tersebut yang ketika itu berusia lima tahun.
Dia disabitkan membunuh jururawat berusia 25 tahun itu pada 1 Mac 2015 di sebuah rumah di Kampung Batu Papan, Gua Musang, Kelantan.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Harmindar Singh Dhaliwal ketika membenarkan permohonan semakan Mohammad Awari turut memerintahkan lelaki itu dikenakan 12 sebatan.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara mengarahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 1 Mac 2015.
Panel itu memerintahkan hukuman penjara dilaksanakan secara serentak dengan tempoh pemenjaraan 18 tahun dan 12 sebatan yang diputuskan sebelum ini kerana merogol mangsa.
Sebelum kejadian, mangsa tidur bersama tiga anaknya berusia 5, 3, dan enam bulan sebelum pemohon memecah masuk rumah dengan membawa sebatang kayu.
Mohamad Awari kemudian menemukan sebilah parang. Lelaki itu menyerang mangsa sehingga mengalami kecederaan 11 tetakan di badan termasuk dua kelaran di leher sehingga maut.
Kejadian itu disedari oleh suami mangsa yang pulang dari kerja dan menemukan isterinya dalam keadaan berlumuran darah, tidak berpakaian sebaliknya hanya dilitupi selimut manakala anak-anaknya berbaring atas tilam yang dicemari darah ibu mereka. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan