"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja menyamar staf hospital tawar diri bantu pembedahan, ditahan di lobi hospital

Safeek Affendy Razali
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan selepas menyamar sebagai staf Hospital Sultan Idris Shah (Hospital Serdang) di sini, hari ini, dilaporkan menawarkan diri untuk membantu menjalankan satu pembedahan di hospital itu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Yusof berkata, pihak hospital membuat laporan mengenai remaja itu dan mengesan kehadiran suspek hari ini sebelum memaklumkan segera kepada polis.

"Individu sama cuba mendaftarkan diri di kaunter dengan menggunakan identiti palsu dan dikesan oleh hospital yang segera memaklumkan kepada polis sebelum tangkapan dilakukan.

"Suspek ditangkap di lobi hospital dan polis merampas sehelai baju scrub (sut bedah), seluar scrub (seluar bedah) dan lanyard hak milik hospital berkenaan," katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh dan menyamar sebagai penjawat awam.

"Jika disabit dengan kesalahan menceroboh suspek boleh dihukum penjara selama tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali dan jika disabit kesalahan menyamar penjawat awam, suspek boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan berita tidak benar berkenaan kejadian ini.

Tiada ulasan: