"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ini jawapan Ketua Polis Negara kepada Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, 'Kenapa polis perlu bincang dengan penjenayah?'

Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Polis tiada keperluan untuk melakukan perbincangan dengan mana-mana pihak yang disyaki terbabit jenayah termasuklah dalam siasatan berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berbuat sedemikian kerana sebarang perlakuan jenayah perlu segera disiasat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali yang mendakwa tiada sebarang perbincangan diadakan bersama pihaknya sebelum tindakan serbuan oleh polis pada 11 September lalu.

Razarudin berkata prosedur siasatan PDRM adalah untuk mengumpul bukti supaya siasatan dapat dilengkapkan seterusnya dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan bukannya berbincang dengan pihak yang disyaki.

"Adakah kalau kita (polis) menyiasat dan kita nak bincang, bagaimana pula dengan bukti kita?

"Kalau macam itu sebagai contoh rumah disamun dan kita kenal pasti penjenayah, adakah perlu saya bincang dengan penjenayah itu? Adakah itu tindakannya?" katanya dalam sidang media di PULAPOL Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, tiada perbincangan akan diadakan berikutan siasatan dijalankan menjurus kepada Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Beliau turut meyakinkan siasatan dijalankan secara telus dan adil tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

"Kita minta orang ramai tidak buat sebarang spekulasi berkaitan siasatan kes ini. Kita tahu macam-macam yang diperkatakan di media sosial dan ada yang mempertikaikan tindakan polis.

"Biarlah mereka hendak bercakap apa sahaja tetapi mereka tidak tahu apa yang berlaku di dalam, hanya pihak yang menjalankan siasatan sahaja tahu apa sebenarnya yang berlaku," katanya

Razarudin menegaskan segala butiran yang didedahkan pihaknya adalah dapatan daripada hasil siasatan dijalankan pihaknya dan agensi-agensi yang berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Pihak di luar itu tidak menyiasat tetapi hanya mendengar cakap-cakap orang sahaja... dia mengambil kira dulunya (GISBH) baik.

"Saya cakap 'betul', di atas mungkin baik... nampak penderma tetapi di bawah menjadi hamba, itu yang kita (polis) nampak, ia hasil siasatan kita. Di atas seolah-olah nampak sangat 'noble' (mulia) tetapi di bawah, perhambaan berlaku... itu yang berlaku, itu yang kita siasat," katanya.

Selain PDRM, katanya, Op Global turut disertai pelbagai agensi termasuk KKM, JKM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan Jabatan Kimia Malaysia.

Selain itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Komunikasj dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Razarudin berkata, ia bagi memastikan siasatan adalah menyeluruh daripada pelbagai sudut termasuk kesalahan mengikut Akta Pendidikan dan Akta Pusat Jagaan.

Terdahulu, Nasiruddin menerusi kenyataan video mempersoalkan tindakan polis menyerbu dan menahan kesemua 392 penghuni dari 20 rumah amal kendalian syarikatnya menerusi serbuan Op Global pada 11 September lalu, tanpa mengadakan perbincangan terlebih dulu.

Tiada ulasan: