NOOR HASLIZA NUSI
Nelayan di Teluk Kumbar kini dalam mood bersedia susulan kejadian air pasang besar berlaku sejak tengah hari tadi.
BALIK PULAU – Nelayan di daerah Barat Daya negeri ini kini dalam ‘mood’ berjaga-jaga ekoran kejadian air pasang besar yang berlaku di kawasan pantai Teluk Kumbar di sini sehingga berlarutan ke petang ini.
Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail berkata, keadaan laut ketika musim angin Barat Daya sangat membimbangkan dan kemungkinan dijangka berlarutan sehingga esok.
Menurutnya, kira-kira seramai 200 nelayan kini berada dalam keadaan bersedia dengan sebarang kemungkinan berlaku berikutan keadaan ombak yang besar sejak petang tadi.
“Fenomena air pasang besar menyebabkan ada pondok nelayan dan tembok penghadang dilaporkan rosak, jalan diselaputi dengan selut dan sampan terbalik. Ketika ini, semua nelayan dengan 100 buah sampan tidak keluar ke laut dan kami kini berjaga-jaga sepanjang tempoh 24 jam ini.
“Malah, keadaan di tepi laut sangat bahaya, ombak besar naik hampir setinggi empat meter. Harap tiada apa-apa kejadian tidak diingini berlaku,” katanya kepada Kosmo! di sini, sebentar tadi.
Sementara itu, sebanyak tujuh buah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka sejak pagi tadi susulan kejadian banjir di beberapa kawasan perumahan di tiga daerah di Seberang Perai.
Mengikut laporan yang dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pulau Pinang pada pukul 5 petang tadi, tiga PPS telah dibuka Seberang Perai Utara (SPU) sejak pukul 3 petang tadi, dua di Seberang Perai Selatan (SPS) dan dua lagi Seberang Perai Tengah.
Sebanyak 44 mangsa terdiri sembilan keluarga masing-masing kini ditempatkan di Sekolah Penanti di Kubang Semang dan Dewan Bukit Teh manakala 33 mangsa lagi dipindahkan ke Dewan Sungai Bakap dan Dewan MPKK Sanglang.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak yang berkuatkuasa sehingga Khamis ini. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan