"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas pemimpin kanan PAS: Guru Pasti tak terasakah sindiran Tuan Ibrahim

Malaysiakini 

Seorang bekas pemimpin kanan PAS secara sinis mempersoal tindakan timbalan presiden parti itu, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mempertikaikan keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mengambil gaji bagi jawatan yang disandangnya.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Pusat, Khairuddin Aman Razali, berkata berdasarkan kenyataan dan perbandingan dibuat Tuan Ibrahim, ada pihak lain yang sepatutnya terasa.

Malah katanya pihak yang terlibat itu berada dalam PAS sendiri.

Menurut bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu lagi, Tuan Ibrahim menyindir Anwar sebagai "malaikat" kerana tidak mengambil gaji bagi tugasnya di dalam kerajaan.

Justeru, tambah Khairuddin, hujah tersebut mungkin digunakan Tuan Ibrahim untuk menjadi dalil dan justifikasi buat para pemimpin PAS yang mengambil gaji dan elaun sama ada sebagai menteri, menteri besar, ahli parlimen, exco dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLS).

Sepatutnya, kata Khairuddin, pimpinan PAS perlu bersimpati pada nasib pekerja-pekerja parti termasuk kakitangan institusi pendidikan prasekolah mereka, Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) yang diumumkan oleh sayap pemuda sebagai sukarelawan saja kerana dibayar gaji yang rendah.

"Guru-guru Pasti ini malaikat barangkali yang tidak makan dan minum, tidak ada rumah dan tiada kenderaan, hanya terbang dengan sayap.

"Begitu juga pekerja parti di pejabat PAS yang menerima gaji kecil RM400, (atau) RM500 sahaja sebulan. Mereka juga malaikat barangkali.

"Jadi, sindiran Tuan Ibrahim sebenarnya sindiran pada guru-guru Pasti dan pekerja parti yang atas nama perjuangan mengorbankan gaji mereka," katanya dalam kenyataan santai hari ini.

Terasa disindir juga

Semalam, Tuan Ibrahim membangkitkan persoalan bagaimana Anwar memperoleh pendapatan dan berbelanja untuk keperluan harian jika dia tidak mengambil sebarang gaji daripada jawatan yang disandangnya.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu secara berseloroh, seorang rasul pun diberikan "peruntukan" oleh Allah untuk rezekinya dan keadaan Anwar dianggap "lebih daripada rasul."

"Saya rasa Tambun (Anwar) tak boleh berselindung di sebalik kenyataan dia tak ambil gaji [...] sebab kalau tengok dari segi data yang ada, rasul pun ada peruntukan yang Allah bagi.

"Ini nampak lebih (hebat) daripada rasul ni. Mungkin dia malaikat kut, dia tak makan gaji," katanya di Dewan Rakyat.

Menurut Khairuddin, guru-guru Pasti berkhidmat secara sukarela atas nama perjuangan PAS, manakala perdana menteri sekarang enggan mengambil gaji kerana berkhidmat juga kerana keyakinan perjuangannya.

"Mereka ini (guru Pasti) yang disindir oleh Tuan Ibrahim. Guru Pasti tak terasa ke?" katanya.

Tambah Khairuddin secara bergurau, dia turut "terasa" dengan sindiran Tuan Ibrahim semalam.

"Saya pun terasa juga kerana sukarela menjadi penasihat agama TPM (timbalan perdana menteri) tanpa gaji," katanya.

Tiada ulasan: