Bernama
Tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau di hadapan sebuah hotel di Jalan Lebuh Pudu Off Jalan Kasturi, Dang Wangi tahun lalu.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap Jaime Jamilah Abdullah kerana memiliki pisau tanpa kebenaran.
KUALA LUMPUR: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah memiliki sebilah pisau tanpa kebenaran di hadapan sebuah hotel tahun lalu.
Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas Jaime Jamilah Abdullah, 47, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan dihadapi wanita itu di akhir kes pembelaan.
“Setelah mahkamah mendengar dan meneliti keterangan saksi pembelaan dan keterangan saksi-saksi pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan, kata Izralizam yang turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 11 Okt tahun lalu.
Jaime didakwa memiliki sebilah pisau berukuran 24cm tanpa kebenaran sah di hadapan sebuah hotel di Jalan Lebuh Pudu Off Jalan Kasturi, Dang Wangi, pada 2.50 petang, 11 Okt 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira kesalahan dilakukannya adalah serius.
Peguam Azfar Asadullah Abdul Sathar yang mewakili tertuduh berkata sebelum ditangkap, anak guamnya yang tinggal di sekitar ibu kota tidak bekerja dan hanya mendapatkan makanan daripada badan bukan kerajaan (NGO) untuk meneruskan hidup.
Tertuduh hidup dalam persekitaran yang bahaya. Saya mohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dari tarikh tertuduh ditangkap, katanya.
Seramai tiga saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula pada 28 Ogos lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan