"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kibar bendera China: Penganjur mohon maaf, PAS desak siasatan

Malaysiakini 

Penganjur sambutan Guan Gong Sedunia tampil memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China pada malam perarakan di Teluk Intan, Perak, semalam.

Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua menjelaskan perbuatan itu dilakukan oleh rombongan dari negara Tembok Besar itu dan bukan penduduk Malaysia.

Malah katanya, tindakan mengibarkan bendera negara lain tidak dirancang dalam tentatif sedia ada oleh pihak pengelola.

“Sebagai pihak yang mengelolakan Sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia, saya ingin memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China oleh rombongan negara China (bukan penduduk Malaysia) pada malam perarakan di Teluk Intan, Perak yang berlangsung pada 24 Oktober 2024.

“Sambutan Guan Gong Sedunia merupakan program yang sudah berlangsung banyak tahun dan dianjurkan dari Johor ke Kedah dan Perak merupakan salah satu stesen yang terlibat.

“Dalam setiap program sambutan ini di pelbagai negeri, pihak pengelola akan mengibarkan bendara Malaysia iaitu Jalur Gemilang sebagai simbol patriotisme. Perarakan dan sambutan di Teluk Intan, Perak adalah tidak terkecuali daripada itu.

“Sebagai pihak pengelola, saya sekali lagi memohon maaf atas insiden tersebut dan akan meneliti segala aspek yang perlu diperbaiki demi menjayakan program tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu video perarakan sambutan itu tular di media sosial memaparkan peserta mengibarkan bendera China sekali gus menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak.

Kejadian itu juga mendapat perhatian Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria yang mendakwa Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming turut hadir merasmikan program pada 13 September lalu.

Razman mendakwa dia juga difahamkan program tersebut akan berlangsung sehingga 26 Oktober ini.

Ketua pembangkang Perak itu bagaimanapun tidak pasti paparan video berkenaan adalah program yang sama atau tidak.

“Apa yang mengejutkan dan mengecewakan ialah berkibarnya bendera negara China dalam sambutan di sekitar Menara Condong, Teluk Intan. Program melibatkan menteri persekutuan daripada DAP dilaporkan bertujuan mempromosikan perpaduan dan pelancongan setempat.

“Negara ini diasaskan dengan penuh harmoni dan toleransi kaum untuk menjunjung perlembagaan. Sebarang tindakan yang bertentangan dengan perlembagaan dan akta serta semangat perpaduan nasional yang menjunjung kedaulatan negara mestilah diambil tindakan,” tegasnya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Adun Gunung Semanggol itu, dengan kehadiran Nga dan exco kerajaan negeri Perak, program tersebut boleh dianggap sebagai program rasmi dan direstui kerajaan.

Tegas Razman, mengikut Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan mempamer) 1949 (Akta 139) Seksyen 3 memperuntukan tiada seorang pun boleh mempamer mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam atau di sekolah.

“Tindakan seperti ini boleh dianggap sebagai satu provokasi yang mencabar kedaulatan dan keharmonian negara.

“PAS Perak mendesak siasatan dibuat terhadap peserta, penganjur termasuk menteri dan exco yang hadir secara rasmi atas kapasiti mereka sebagai wakil kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya.

Malaysiakini difahamkan, satu laporan polis akan dibuat oleh PAS Perak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada 2.45 petang ini.

Tiada ulasan: