Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my
Georgetown: Kanak-kanak lelaki parah selepas terjatuh dari tingkat 12 sebelum tersangkut di tingkat tujuh sebuah kondominium di Lebuh Tunku Kudin, Jelutong di sini, hari ini.
Kejadian jam 9.20 pagi itu disedari nenek mangsa selepas menemui mangsa yang berusia empat tahun di bumbung konkrit tingkat tujuh bangunan berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika wanita warga emas berusia 63 tahun itu berada di bilik air.
Katanya, siasatan lanjut mendapati mangsa terjatuh dari tingkap bilik tidur utama.
"Semakan juga mendapati katil dalam bilik itu terletak berhampiran tingkap dan tiada saksi lihat kejadian.
"Mangsa kini dilapor berada dalam keadaan parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP)," katanya di sini, hari ini.
Menurut Lee, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan