"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

6 jam peluk mayat rakan elak hanyut selepas bot karam

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
MUHAMMAD Nizam menceritakan dia memeluk jasab sahabat karib selama enam jam selepas bot mereka karam. FOTO Alias Abd Rani
MUHAMMAD Nizam menceritakan dia memeluk jasab sahabat karib selama enam jam selepas bot mereka karam. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Seorang nelayan memeluk badan sahabatnya yang tidak bernyawa selama enam jam bagi mengelak hanyut dibawa arus selepas bot dinaiki karam di perairan Batu Pahat dekat Sungai Suloh di sini, awal pagi tadi.

Muhammad Nizam Salleh, 56, berkongsi detik akhir memeluk mayat sahabatnya, Norhisham Ahmad, 58, selepas menyedari lelaki itu sudah tidak bernyawa hanya dalam tempoh 10 minit sebaik insiden berlaku pada jam 2 pagi itu.

Bekas imam Masjid Sungai Suloh berkata, dia bersama arwah serta dua lagi rakan dikenali sebagai Azlan, 34, dan Man, 23, sedang berehat atas bot sementara menunggu masa melabuhkan pukat kali kedua.

"Ketika itu, ada tanda-tanda ribut namun belum kuat, jadi kami berempat berehat dengan memasak dan makan bersama-sama.

"Selepas melihat arah barat, saya terus beritahu arwah ribut seolah-olah sudah dekat. Sekitar jam 1.45 pagi kami meneruskan perjalanan untuk pulang dalam keadaan angin kuat serta gelombang.

"Kira-kira 15 minit kemudian bot mula dimasuki air akibat gelombang lalu tenggelam. Saya jerit kepada mereka supaya mengambil jaket keselamatan dan tong sebelum bot karam.

"Mula-mula arwah dalam keadaan baik namun kira-kira 10 minit selepas kejadian, badan dia semakin lemah. Saya sempat ajar dia mengucap dan tidak lama kemudian, dia terus senyap," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Suloh di sini.

Menurut Muhammad Nizam, ketika terapung di laut, arwah sempat memberitahunya supaya memeluk badannya untuk elak mereka berpisah dihanyutkan arus.

"Menyedari dia sudah meninggal dunia, saya tidak sesekali melepaskan pelukan itu. Saya ikat dua tong di pinggang kiri dan kanan arwah manakala dadanya, saya letak jaket keselamatan sambil memegang tangannya.

"Saya pesan pada Man dan Azlan supaya jangan tidur atau terminum air laut. Kami hanyut dari Parit Balak hingga ke Kuala Sungai Ayam.

"Kedudukan kami kira-kira dua kilometer dari darat namun kami kembali hanyut kembali ke tengah sungai kerana air pasang. Sekitar jam 8 pagi saya ternampak kelong kira-kira 300 meter.

"Kebetulan ada orang memancing dan mereka terdengar jeritan kami meminta tolong," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Nizam berkata, dia sukar menyembunyikan kesedihan bila melihat sahabat karib meninggal dia depan mata.

"Arwah meninggal dunia bukan kerana lemas saya lihat dia tidak selesa ketika berada dalam air sebab itulah badan dia semakin lemah.

"Kami bersahabat sejak usia enam tahun dan persahabatan kami kekal hingga hari ini," katanya.

Sementara itu, isteri arwah, Noriah Hashim, 56, berkata dia mengetahui kejadian itu jam 8 pagi selepas seorang jiran datang memaklumkan suaminya sudah tiada.

"Waktu itu, saya keluar bersama anak untuk sarapan sebelum didatangi rakan jiran memaklumkan kejadian sebenar. Saya terpinga-pinga kerana tidak percaya dengan apa yang diberitahu itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) bagi tindakan selanjutnya sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Suloh selepas waktu Asar hari ini.

Tiada ulasan: