Bernama
Polis sedang mengesan seorang lelaki yang mahu membeli barangan kemas bernilai RM30,000 dengan menggunakan wang palsu di sebuah kedai emas di Chabang Tiga di Kuala Terengganu, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata suspek yang berusia lingkungan 30-an datang bersendirian ke kedai itu pada 3.10 petang dengan memakai kopiah putih, bercermin mata hitam dan pelitup muka merah jambu.
Beliau berkata suspek meminta jurujual berusia 36 tahun untuk menunjukkan beberapa gelang emas dan mengambil gambar atas alasan mahu ditunjukkan kepada isteri, sebelum menyatakan hasrat hendak membeli barangan kemas itu selepas dua kali keluar masuk kedai.
“Jurujual meminta suspek menyerahkan wang untuk dikira dan lelaki itu menyerahkan duit diikat bentuk bungkusan di dalam beg plastik kuning,” katanya dalam kenyataan di Kuala Terengganu hari ini.
Azli berkata jurujual yang berasa curiga kerana bahagian tepi wang itu berwarna putih cuba memeriksa wang tersebut sehingga berlaku insiden tarik-menarik dengan suspek.
Beliau berkata suspek yang menyedari taktik itu terbongkar bertindak melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Perodua Axia biru gelap yang berada di hadapan kedai.
“Semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan itu palsu. Polis sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis terlibat serta kedai berhampiran untuk siasatan lanjut,” katanya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan iaitu menggunakan wang palsu.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan