FMT Reporters
Sebanyak 29 warga Pakistan dihalang memasuki Langkawi selepas imigresen curiga niat mereka ke pulau peranginan itu. (Gambar Imigresen)
PETALING JAYA: Imigresen mengeluarkan notis penolakan masuk terhadap 29 warga Pakistan yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi kerana curiga motif kehadiran mereka atas alasan ingin sertai sukan lasak di Pulau Tuba.
Dalam insiden sekitar 2 petang semalam, mereka disyaki dari kawasan pedalaman Pakistan untuk menyertai larian ‘Tuba Cross Country Run’ yang dijadualkan esok.
Pemeriksaan imigresen di kaunter mendapati, warga asing terbabit hanya membawa kurta dalam beg masing-masing tanpa persalinan dan kasut sukan bersesuaian.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain, berkata pemeriksaan lanjut dan soal siasat mendapati kumpulan itu membelanjakan hampir RM2,000 untuk kos penerbangan dan perbelanjaan lain, sedangkan yuran penyertaan acara cuma RM45 dan hadiah utama hanya RM300.
“Mereka tiba dengan berpakaian sukan, tapi hanya bawa kurta dalam beg masing-masing tanpa persalinan dan kasut sukan bersesuaian untuk acara terbabit.
Adakah ini strategi untuk sembunyikan motif sebenar, mengapa tidak dibawa pakaian bersesuaian, katanya menurut Berita Harian.
Ridzzuan berkata, modus operandi mereka adalah menempah bilik di sebuah hotel bajet di Langkawi dan membeli tiket pulang ke Dubai sehari selepas acara, bukan meninggalkan Malaysia segera selepas program larian berakhir.
Biasanya, kebanyakan peserta dari luar yang menyertai program di Langkawi akan ambil kesempatan melancong, meneroka lokasi menarik sebelum meninggalkan pulau itu. Penganjur program di Pulau Tuba turut mengesahkan tiada peserta asing lain kecuali kumpulan warga Pakistan ini, katanya.
Katanya, atas niat dan motif ‘tidak munasabah’, pegawai imigresen di kaunter memutuskan menolak kemasukan kumpulan tersebut mengikut Seksyen 8(3)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana mereka disyaki bukan pelancong sebenar.
Keputusan ini diambil untuk memastikan keselamatan dan integriti acara serta negara, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan