Alias Abd Rani
bhnews@bh.com.my
Muhamad Fakhrulrazi dituduh merogol dan cabul pelajar di Kluang. - Foto BH/ALIAS ABD RANI
MUAR: "Saya nak jamin, saya ada ibu dan adik beradik," demikian rayuan seorang penganggur yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan merogol dan amang seksual fizikal terhadap pelajar baru dikenali, awal bulan lalu.
Tertuduh, Muhamad Fakhrulrazi Muhamad, 21, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kluang, pada jam 7 pagi, 8 Ogos lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 (a) dan (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dengan masing-masing memperuntuk penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.
Berdasarkan laporan dibuat mangsa, kejadian berlaku di rumah kakaknya yang ketika itu tiada ahli keluarganya kerana dilaporkan keluar bekerja.
Kejadian itu terbongkar apabila abang mangsa terserempak seorang lelaki bersembunyi di belakang rumah, sebelum bertanyakan mangsa mengenainya.
Mangsa akhirnya menceritakan kejadian itu sebelum diminta membuat laporan di Balai Polis Kluang pada 25 Ogos lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ariff Marzuki manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah untuk tidak menawarkan ikat jamin memandangkan kesalahan dilakukan serius serta membabitkan mangsa bawah umur.
"Sekiranya mahkamah membenarkannya, pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM25,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan serta menetapkan dua syarat tambahan," katanya.
Selepas mendengar hujahan dan rayuan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu, tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu ataupun berkomunikasi dengan mangsa sehingga perbicaraan selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Oktober ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam tertuduh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan