"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pembelian emas 0.001g di TikTok pelaburan merugikan dan sia-sia

Ramai kumpul emas 0.001g di TikTok, wanita dedah kenapa kedai emas tak akan ambil

SITI NUR ZAWANI

Kebelakangan ini muncul trend mengumpul biji emas seberat 0.001 gram dengan harga serendah RM5 hingga RM10.

Dengan kesedaran menyimpan emas yang semakin meningkat,  orang ramai mula terjebak dengan pembelian biji emas ini sebagai simpanan kecemasan mahupun untuk pelaburan dalam masa panjang.

Penjual kebiasaannya akan menyarankan orang ramai mengumpul biji-biji emas dengan jumlah yang banyak sebelum boleh dijual semula kepada mana-mana kedai emas.

Namun, seorang wanita tampil mendedahkan realiti sebenar yang mana kedai emas sebenarnya tidak akan membeli biji emas ini dari anda.

Walaupun anda mengumpulnya sehingga 1 gram sekalipun, mereka tidak akan membelinya kerana kesukaran untuk mengenalpasti ketulenan dan menimbang berat emas.

Dalam satu video dikongsi seorang penjual emas Public Gold, Ezlinda Ismail, dia cuba memajak emas bernilai 0.1 gram kepada dua kedai emas namun kedua-duanya menolak.

Dia juga sempat bertanya kepada salah seorang pemilik kedai emas tentang biji emas 0.001 gram di TikTok.

Pemilik kedai itu berkata ia hanya buang duit sahaja kerana mereka tidak akan mengambilnya walaupun jumlah keseluruhan biji emas adalah 1 gram.

Malah, jika anda membeli RM10 untuk harga 0.001 gram, anda telah membelanjakan RM1,000 demi 1 gram semata-mata. Ia amat merugikan.

Dan untuk rekod, biji emas 0.001 gram ini bentuknya lebih kecil dari manik batu yang biasa diguna di tudung.

Sementara itu meninjau ke ruangan komen, perkongsian itu ternyata membuka mata ramai yang baru tersedar pembelian biji emas mendatangkan kerugian buat mereka.

Mereka juga menasihatkan orang ramai agar belajar dahulu selok belok pelaburan emas sebelum membelinya agar tidak rugi di kemudian hari.

Tiada ulasan: