"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Senjata AI buat keputusan sendiri ambil nyawa manusia

KOSMO!
DRON reaper dilihat di sebuah pangkalan tentera Perancis di ibu kota Niger, Niamey pada 14 Mei, 2023. – AFP
GENEVA – Dunia mesti bersatu mengekang kebangkitan ‘robot pembunuh’ atau berdepan ‘masa depan dahsyat’ dengan orang awam di serata tempat berada dalam bahaya, kata seorang pemimpin hak asasi manusia seperti laporan akhbar Daily Star kelmarin.

Sistem persenjataan autonomi janaan kepintaran buatan (LAWS) yang sedang dibangunkan berupaya memilih dan menyerang sasaran berdasarkan pemprosesan sensor tanpa campur tangan manusia.

Keupayaan ini memberikan mesin kebebasan serta keupayaan untuk mengambil nyawa manusia kerana sasaran LAWS adalah berdasarkan data yang diterima dan diproses, tanpa unsur belas kasihan.

Dron LAWS sedang dibangunkan di seluruh dunia dan telah digunakan di medan tempur di rantau Afrika Tengah.

Senjata ini beroperasi tanpa mengambil kira undang-undang antarabangsa kerana keputusan untuk membunuh dibuat oleh robot dan bukannya manusia.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) menggesa pe­mimpin-pemimpin dunia menandatangani perjanjian untuk bersetuju tidak menggunakan persenjataan LAWS.

Timbalan Pengarah Krisis, Konflik dan Senjata kumpulan hak asasi Human Rights Watch (HRW), Mary Wareham mahu keputusan mengharamkan senjata itu dibuat pada perhimpunan agung PBB bulan depan.

“Tanpa undang-undang yang jelas, dunia berdepan masa depan kelam di mana pembunuhan autonomi oleh robot ini meletakkan orang awam dalam bahaya di mana sahaja mereka berada,” kata Wareham.

Menurutnya, pemimpin-pemimpin dunia telah me­nyedari malapetaka akibat daripada perbuatan memansuhkan kawalan manusia ke atas sistem persenjataan.

“Terdapat sokongan meluas antarabangsa supaya kebimbangan ini ditangani. Ini sepatutnya mendorong kerajaan-kerajaan di seluruh dunia berunding tanpa berlengah lagi,” tambah Wareham.

Beliau membuat gesaan itu selepas Setiausaha Agung PBB, António Guterres menerbitkan laporan menuntut satu perjanjian antarabangsa dimeterai untuk ‘mengharamkan sistem persenjataan yang berfungsi tanpa kawalan manusia dan tidak mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa’.

“Masa semakin suntuk untuk masyarakat antarabangsa mengambil tindakan pencegahan mengenai isu ini.

“Kita perlu bertindak segera untuk mengekalkan kawalan manusia terhadap penggunaan kekerasan,” kata Guterres dalam amarannya.

Beliau berharap pemimpin-pemimpin dunia akan bersetuju dengan ‘pakatan untuk masa depan’ bagi melarang pembangunan robot pembunuh semasa sidang kemuncak PBB pada 22 September ini.

Setakat ini, pakar-pakar percaya LAWS pernah digunakan sebanyak dua kali iaitu sekali dalam konflik dan sekali lagi semasa sesi latihan.

Pada 2020, tentera yang disokong kerajaan Libya mengerahkan dron Kargu-2 buatan Turkiye semasa bertempur dengan militia musuh.

Menurut laporan PBB, dron itu ‘memburu dan menyerang’ musuh dari jauh’ serta memilih sasaran sendiri.

Angka korban tidak diketahui tetapi menurut beberapa pakar, dron itu tidak dapat membezakan sasaran tentera daripada orang awam.

Pada Mei tahun ini, tentera Amerika Syarikat menguji drone autonomi Triton di Libreville, Gabon dalam latihan antilanun. Ia menggunakan pengimbas dan penderia resolusi tinggi untuk mengumpul risikan secara sendiri dan melancarkan tindakan balas.

Dron itu mempunyai varian udara dan laut serta boleh berada di bawah air selama se­minggu.

Pakar-pakar bimbang teknologi LAWS boleh jatuh ke tangan rangkaian pengganas.

Beberapa dron canggih telah hilang dalam operasi memerangi keganasan.

AS dilaporkan kehilangan tiga dron MQ-9 Reaper kepada militia Houthi di Yemen pada Mei lalu dan sebelum ini, dron MQ-1 Predator di Libya serta Niger. – AGENSI

Tiada ulasan: