"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 wanita bunuh bomoh yang mengugut sebar video peribadi

AFP

Islamabad: Dua wanita Pakistan ditahan, disyaki terbabit dengan kes pembunuhan bomoh yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap pesakit wanita, menurut polis semalam.

Wanita itu memberitahu polis bahawa mereka menemui Riaz Hussain untuk bantuan membuang gangguan sihir, namun lelaki itu bertindak mengambil video mereka ketika proses rawatan dan mengugut untuk menyebarkannya.

"Siasatan mendapati Riaz Hussain melakukan gangguan seksual terhadap ramai pesakit wanita untuk tempoh lama, atas nama rawatan kerohanian," menurut kenyataan polis bandar Multan, wilayah Punjab.

Kedua-dua wanita itu dengan bantuan sepupu dan seorang lagi lelaki didakwa menjerut leher bomoh terbabit dengan selendang hingga mati, sebelum membuang mayatnya.

Kesemua mereka sudah ditahan, kata polis yang turut menambah suspek kelima iaitu seorang lelaki juga turut diberkas.

Bomoh atau dukun masih menjadi pilihan penduduk di Pakistan untuk rawatan, yang mendorong kepada eksploitasi dan perlakuan sumbang.

Pada 2022, seorang wanita mengandung terpaksa dikejarkan ke hospital akibat paku terlekat di kepala selepas menurut arahan bomoh yang mendakwa cara itu menjamin kelahiran bayi lelaki.

Setahun kemudian seorang lagi wanita meninggal dunia selepas dirotan selama beberapa hari oleh dukun yang mendakwa ia sebahagian cara merawat kerasukan.

Tiada ulasan: