FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki membuat ancaman dan hasutan terhadap penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi WhatsApp.
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan anggota bahagian Jabatan Siasatan Jenayah IPD Cheras pada 12.10 pagi tadi.
Katanya, tangkapan itu susulan laporan polis yang dibuat seorang pegawai penguatkuasa DBKL semalam mengenai satu hantaran di Facebook.
“Hantaran di Facebook itu memaparkan sebuah tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp mengenai ancaman dan hasutan kepada penguat kuasa DBKL.
“Pengadu menyatakan tangkap layar whatsapp tersebut merupakan ancaman, hasutan dan berbaur ugutan dengan niat terhadap penguat kuasa DBKL sebagai penjawat awam yang menguatkuasakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Rusdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 505(b) kanun sama kerana membuat kenyataan yang boleh menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
Tambahnya, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan