Malaysiakini
Polis telah merekodkan keterangan bekas isteri anggota polis yang parah akibat tertembak diri sendiri di bilik pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di George Town pada Selasa lepas bagi siasatan lanjut.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata pihaknya juga dijangka mengambil keterangan beberapa lagi individu bagi membantu mengenal pasti punca kejadian.
Beliau berkata koperal berusia 58 tahun itu masih berada dalam pemantauan pakar di unit rawatan rapi umum (GICU) selepas dipindahkan dari unit rawatan rapi neurosurgeri (neuro ICU).
“Setakat ini, anggota itu masih belum menjalani sebarang pembedahan kerana pakar perubatan masih menjalankan pemerhatian lanjut bagi tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Anggota polis bertugas di cawangan Kem Komandan itu ditemukan parah di kepala dalam bilik pengawal IPK Pulau Pinang pada 6.12 petang Selasa lepas, dipercayai akibat tertembak diri sendiri.
Siasatan di tempat kejadian mendapati satu das tembakan dilepaskan daripada senjata digunakan anggota itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan