Anne Muhammad
PETALING JAYA: Pemimpin Umno dan Pakatan Harapan (PH) Perak secara sinis meminta Perikatan Nasional (PN) menarik diri daripada bertanding PRK Ayer Kuning kerana didakwa tidak mempunyai aspirasi membangunkan kawasan itu.
Kelmarin, Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib Azamudden dipetik berkata pembangunan di DUN terbabit akan berjalan seperti biasa walau apa jua keputusan pada PRK 26 April depan termasuk dimenangi komponen itu.
Ketua Umno Sungai Siput Mohd Zolkafly Harun berkata kenyataan itu membuktikan ketiadaan perancangan untuk pembangkang di kawasan itu dan mengakui keberkesan pentadiran Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.
Sehubungan itu, Zolkafly yang juga exco kerajaan Perak menggesa PN supaya menarik diri dan jika berlaku pertandingan sekali pun, pengundi DUN Ayer Kuning perlu memilih calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Yusri Bakir.
“Memang wajib kekal calon BN dari kerajaan perpaduan untuk terus memberikan perkhidmatan dan pembangunan seiring dengan kerajaan yang kukuh pada hari ini di negeri Perak dan tak perlu pun wakil dari pembangkang,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Afnan yang pembangunan di Ayer Kuning akan terus berjalan jika calon PN Abdul Muhaimin Malek menang kerana dipantau pegawai khas dilantik Saarani seperti di DUN diwakili pembangkang di negeri itu.
Ketua Amanah Perak Asmuni Awi pula secara sinis bersetuju dengan kenyataan Afnan itu dan membuktikan mengundi pembangkang hanya sia-sia kerana pembangunan hanya akan dibuat wakil kerajaan.
“Jadi PAS tak payah bertandinglah bila kata MB akan lantik pegawai khas (jaga pembangunan), buat apa mereka tanding di situ?
“Tak perlu buang duit dan masa pengundi, dari pilih pembangkang lebih baik undi calon BN kerana lebih efektif beri sumbangan kepada rakyat,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Ayer Kuning pada 26 April dengan penamaan calon Sabtu ini dan membabitkan 31,897 daftar pemilih.
PRK itu diadakan bagi mengisi kekosongan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada Februari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan