Faisal Asyraf
PETALING JAYA: Polis melaksanakan siasatan lanjut susulan pengakuan bersalah seorang remaja menyembunyikan kelahiran bayinya bulan lalu, yang didakwa mengandung selepas dirogol.
Ketua Polis Sabak Bernam Yusof Ahmad mengesahkan laporan dibuat ahli keluarga selepas tertuduh berusia 18 tahun memberitahu Mahkamah Majistret hari ini mengenai kejadian rogol.
“Ia masih disiasat,” katanya kepada FMT ketika dihubungi.
Sebelum ini, remaja dan ibunya berusia 41 tahun ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat bayi dalam lubang tandas di sebuah stesen minyak di Kampung Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam.
Siasatan awal daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati wanita mengandung masuk ke tandas perempuan, ditemani seorang lagi wanita.
Hari ini, perempuan itu mengaku salah menyembunyikan kelahiran bayi pada 24 Mac dan dijatuhi sebulan penjara dan denda RM5,000. Dia membayar denda berkenaan.
Dia memberitahu mahkamah dirinya mengandung selepas dirogol seorang lelaki yang baru dikenali. Dia juga memaklumkan kejadian itu dirahsiakan kerana takut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan