"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terperangkap dalam lubang pembentung resort, tiga pekerja maut

Abd Razak Mohd Ali

Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. - Gambar/ JBPM

LENGGONG: Tiga pekerja maut manakala empat rakan mereka selamat selepas terperangkap di dalam lubang pembetung semasa melakukan kerja pembersihan di sebuah resort baharu yang sedang dibina, di Kampung Ibol, Sumpitan, di sini, hari ini.

Dua lelaki tempatan berusia 29 dan 37 tahun maut di tempat kejadian manakala seorang lelaki warga Indonesia meninggal dunia di hospital.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengena kejadian itu pada 10.08 pagi.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, ketua operasi dimaklumkan bahawa lima orang pekerja telah dibawa keluar oleh orang awam dan dihantar ke klinik kesihatan yang berdekatan untuk menerima rawatan.

“Pasukan mendapati, terdapat dua orang pekerja masih lagi terperangkap di dalam lubang pembetung tersebut. Anggota segera memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) lengkap dengan alat pernafasan sebelum turun ke dalam pembentung untuk mengeluarkan mangsa.

“Anggota kemudiannya mengikat mangsa dengan menggunakan tali dan mangsa ditarik keluar dari lubang pembetung,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian diperiksa oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengesahkan kedua–dua mereka telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Sabarodzi berkata, saiz lubang pembetung tersebut dianggarkan kira-kira lima meter (m) panjang dan 4m lebar, sedalam 2.5 meter.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanam II (KUP) Abdul Rahim Abdul Manan tamat jam 12.25 tengah hari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai kejadian tersebut.

Tiada ulasan: