Agensi

SALAH (kanan) kini sebaris dengan apa yang diperoleh De Bruyne. FOTO AFP
London: Mohamed Salah menandatangani kontrak baharu bersama Liverpool dan secara tidak langsung meletakkan dirinya berkongsi tempat kedua dalam senarai pemain yang memperoleh pendapatan tertinggi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Persetujuan Salah untuk kekal bersama Liverpool turut menamatkan spekulasi sebelum ini mengenai kisah perpindahannya dan pemain dari Mesir itu bakal bersama skuad berkenaan sehingga 2027.
Pendapatannya di kelab berkenaan meningkat kepada £400,000 (RM2.31 juta) seminggu - berbeza dengan yang terdahulu £350,000 (RM2.02 juta).
Jumlah itu meletakkan Salah kini sebaris dengan apa yang diperoleh Kevin De Bruyne biarpun legenda Manchester City berkenaan bakal meninggalkan kelab pada penghujung musim ini.
Rakan sepasukan De Bruyne, Erling Haaland muncul sebagai pemain yang menerima pendapatan tertinggi dalam EPL dengan bayaran £500,000 (RM2.89 juta) seminggu.
Casemiro yang menyertai Manchester United dari Real Madrid pada 2022, kekal berada di tangga ketiga dalam senarai pendapatan tertinggi dengan bayaran £350,000 (RM2.02 juta) seminggu.
Salah mula menyertai Liverpool dari Roma pada 2017 dan menikmati karier gemilang di Anfield.
Selepas mengesahkan masa hadapannya, Salah berkata: "Sudah tentu saya sangat gembira. Kami mempunyai pasukan yang hebat sekarang.
"Sebelum ini juga kami mempunyai pasukan yang kuat. Tetapi saya menandatangani (kontrak baharu) kerana saya fikir kami mempunyai peluang untuk memenangi trofi lagi dan untuk saya menikmati bola sepak.
"Ia sesuatu yang hebat, saya mempunyai tempoh yang terbaik di sini. Saya sudah bermain lapan tahun (Liverpool) dan harap ia akan menjadi yang ke-10. Menikmati kehidupan saya dan juga bola sepak di sini.
"Saya memperoleh tempoh masa yang terbaik dalam karier saya. Saya ingin menyatakan (kepada penyokong), saya sangat gembira berada di sini.
"Saya melanjutkan kontrak di sini kerana saya percaya kami boleh meraih lebih banyak trofi bersama. Teruskan menyokong kami dan kami akan berikan yang terbaik."
Pemain pertahanan, Virgil van Dijk juga dilihat hampir pasti kekal di Liverpool pada ketika Trent Alexander Arnold dijangka bakal berpindah ke Real Madrid pada musim panas nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan