"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Baru bebas, tukang masak dipenjara semula 18 bulan kerana curi motosikal

BuletinTV3
Faiz Ariza dipenjara 18 bulan selepas mengaku memiliki dan curi dua motosikal milik dua warga emas. Foto: NSTP
BATU PAHAT: Seorang tukang masak yang baru beberapa bulan dibebaskan atas kesalahan mencuri, dipenjara semula 18 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Yong Peng hari ini atas pertuduhan memiliki dan mencuri dua motosikal milik dua warga emas, sejak bulan lalu.

Faiz Ariza Rahman, 35, didakwa atas dua pertuduhan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menyimpan harta curi iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC milik warga emas berusia 73 tahun, di tepi jalan Kampung Setia Jaya, Simpang Renggam, dekat sini, 5.15 petang, 23 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun dan juga denda.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh yang masih bujang didakwa mencuri motosikal Honda C100 milik warga emas berusia 71 tahun di kaki lima hadapan kedai serbaneka, Bandar Baru Ayer Hitam, di sini, 3.05 petang, 28 September lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan juga denda.

Berdasarkan fakta kes, polis terserempak tertuduh di tepi jalan lalu menahannya.

Hasil pemeriksaan ke atas motosikal ditunggang mendapati ia milik warga emas yang dilaporkan hilang di Ayer Hitam, bulan lalu.

Selain itu, polis turut mengesan perbuatan tertuduh menerusi kamera litar tertutup (CCTV) ketika dia melarikan motosikal Honda C100.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sebelum menjatuhkan hukuman, pihak pendakwaan turut mengemukakan rekod lampau tertuduh membabitkan Seksyen 380, Seksyen 379 dan 379A dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi pertuduhan pertama dan enam bulan pertuduhan kedua dengan kedua-dua hukuman itu dijalankan secara berasingan.

Tiada ulasan: