Mohsin Abdullah
Bagi golongan terpaling Melayu dan terpaling Islam di Malaysia, Republik Rakyat China akan terus dijadikan bahan momok demi mendapat sokongan di peti undi.
Jika anda seorang ahli politik yang gemar bermain sentimen perkauman untuk mengutip ‘brownie points’ maka apa yang berlaku di Perak tempoh hari ialah bagai pucuk dicita ulam mendatang. Atau orang mengantuk disorong bantal.
Ada perarakan di mana ada orang membawa bendera China. Pedulikan orang Cina itu datangnya dari negara China. Orang China kibar bendera China. Lupakan ada Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak diarak peserta. Ketepikan fakta itu. Apatah lagi ia berlaku di Teluk Intan, dan Ahli Parlimennya ialah Nga Kor Ming daripada DAP. ‘It don’t get better than this. It’s like God sent’.
Saya yakin begitulah dirasai Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria. Lantas beliau mengeksploitasikan insiden itu dengan sebaik-baiknya. Beliau menganjurkan perhimpunan atau demonstrasi ‘balas’ di Menara Condong Teluk Intan. Dihadiri kira-kira 300 orang mengikut laporan media. Kebanyakannya membawa Jalur Gemilang. Menara Condong yang ‘menyerupai’ bentuk Pagoda Cina. Tidak perlu saya ulangi apa yang beliau kata dalam ucapannya di perhimpunan itu. Rasanya video ucapan sudah pun viral. Cukup saya nyatakan kata-kata beliau mengguris perasaan masyarakat Cina Malaysia.
Saya setuju dengan pendapat ahli akademik Tajuddin Rasdi yang disiar Malaysiakini bahawa pemimpin seumpama itu bukanlah seorang patriot atau pejuang bangsa dan agama sebaliknya seorang ‘oportunis yang memalukan’.
“Orang ramai tidak boleh membenarkan penipu ini membutakan mereka dengan fahaman perkauman atau jingoism dengan alasan mempertahankan negara, bangsa dan agama daripada ancaman yang direka,” beliau dipetik berkata.
Orang Melayu (ramai kalau bukan majoriti) masih terkesan dengan apa yang berlaku membabitkan tentera Bintang Tiga selepas Jepun kalah Perang Dunia Kedua. Oleh kerana anggota Bintang Tiga majoritinya keturunan Cina maka orang Cina dikaitkan dengan komunis. Sehingga sekarang istilah ‘Cina komunis’ masih digunakan sesetengah pihak khususnya golongan terpaling Melayu. Mereka dikaitkan dengan Republik Rakyat China yang sememangnya diperintah oleh parti komunis.
Lantas golongan Melayu yang terpaling Islamis dan terpaling Melayu mudah memomokkan orang Melayu akan ancaman yang tidak ada tetapi diada-adakan. Seperti disebut tadi oleh Tajuddin ‘ancaman yang direka’.
Taktik ini sememangnya kerap dikitar semula untuk keuntungan politik. Awal bulan ini pemimpin Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menjadikan lawatan dua kapal perang ke Pulau Pinang sebagai isu. Bersatu kita semua maklum ialah rakan PAS dalam Perikatan Nasional.
Kapal perang milik tentera laut China itu singgah di Pulau Pinang yang diperintah DAP dan rombongan kapal dilapor membuat kunjungan ke sebuah sekolah dan disambut oleh pelajar. Ada yang mengibar bendera China. Sekali lagi suasana pucuk dicita ulam mendatang. Seperti pemimpin PAS di Teluk Intan, Wan Fayhsal juga ‘went to town with the issue’. Mempersoalkan mengapa rombongan itu diberi sambutan ‘wira’?
Pedulikan penjelasan Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil sekolah yang dimaksudkan ialah sekolah menengah persendirian. Dan pelajar yang mengibarkan bendera China ialah pelajar China. Nyata ada pelajar sekolah yang dilawat ialah warga China. Dan pelajar Malaysia mengibarkan bendera Malaysia. Pedulikan penjelasan itu. Abaikan juga penerangan Menteri Luar Mohamad Hasan bahawa permohonan diplomatik membabitkan lawatan ke sekolah berkenaan dikemukakan oleh Kedutaan Republik Rakyat China dan mendapat persetujuan Kementerian Pertahanan.
Tolak tepi penerangan dan penjelasan itu. Janji dapat dieksploitasi lawatan itu, momokan orang Melayu dan ‘api-apikan’ perasaan mereka supaya benci kerajaan sekali beri PN menang pilihan raya mendatang.
Menurut Wikipedia, semasa era Mao Zedong dasar luar China menyokong pembebasan nasional dunia ketiga. Pada era pasca Mao Republik Rakyat China terus menyokong Pertubuhan Pembebasan Palestin. Ia mengiktiraf negara Palestin pada 1988.
Berikutan keganasan Israel di Gaza sehingga kini China menyifatkan tindakan Israel melampaui batas, dan China juga menggesa Israel mendengar suara antarabangsa dan menamatkan pendudukan haram di Palestin serta-merta.
Bukankah pendirian itu sama dengan Malaysia? Dan pada Ogos lalu Presiden Xi Jinping berjanji untuk menjalin hubungan yang lebih kukuh dengan Republik Islam Iran ‘tanpa mengira perubahan dalam situasi antarabangsa dan serantau China akan terus membangunkan kerjasama dengan Iran’.
Namun, bagi golongan terpaling Melayu dan terpaling Islam di Malaysia, Republik Rakyat China akan terus dijadikan bahan momok untuk menakutkan orang Melayu sekali gus menyakiti hati orang Cina rakyat Malaysia. Demi mendapat sokongan di peti undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan