Pemimpin Pemuda Bersatu persoal apakah terdapat campur tangan
FMT Reporters
Penolong setiausaha Pemuda Bersatu tuntut ketelusan penuh selepas keputusan pemilihan sayap diumumkan petang tadi.
PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pemuda Bersatu mempersoalkan sama ada terdapat campur tangan bagi menentukan keputusan pemilihan sayap itu.
Persoalan itu antara beberapa tanda tanya yang diajukan penolong setiausaha semasa, Muhammad Faiz Rahmad, ketika mengulas pengumuman oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) petang tadi.
Menginginkan penjelasan daripada JPP, Muhammad Faiz berkata: “Kami menuntut ketelusan sepenuhnya, keadilan yang tanpa kompromi dan penghormatan kepada undi serta suara perwakilan akar umbi.”
Beliau menarik perhatian kepada pengumuman JPP pada 27 Okt yang membuka ruang bantahan dibuat hingga 10 pagi, 28 Okt.
Beliau menyifatkan proses itu ‘luar kebiasaan’ kerana bantahan sepatutnya hanya boleh dibuat selepas keputusan diumumkan.
“Apakah perkara yang ingin dibantah jika jumlah undi, pemenang dan lain-lain hal berkaitan proses pengundian belum diketahui secara umum?” soalnya dalam kenyataan.
Beliau seterusnya berkata, bantahan-bantahan mendedahkan beberapa perkara yang ‘amat ganjil’, contohnya keabsahan undi daripada Pemuda Bersatu Beaufort yang tidak diberi kelulusan untuk bersidang.
“Jika benar Pemuda Beaufort tidak layak bersidang, mengapa kertas undi masih diedarkan untuk mereka?”
Turut dibangkitkan, jumlah perwakilan Pemuda Bersatu Kalabakan. Muhammad Faiz mendakwa, mesyuarat pengurusan Bersatu meluluskan senarai perwakilan rasmi dengan hanya 50 orang daripada empat cawangan, tetapi jumlah tersebut melonjak kepada lebih 180 perwakilan dari 12 cawangan pada hari persidangan.
“Dari mana datangnya perwakilan-perwakilan ini yang tidak pernah dilaporkan sebelum ini?” soalnya.
Berdepan persoalan-persoalan ini, Faiz menegaskan bahawa ahli Bersatu berhak mendapat jawapan yang sahih, dan bukan sekadar alasan.
“Kami tidak meminta lebih daripada apa yang seharusnya menjadi asas sebuah parti yang berdiri atas prinsip keadilan dan integriti,” katanya.
JPP petang tadi mengumumkan Adun Gombak Setia Hilman Idham menang jawatan ketua Pemuda Bersatu pada pemilihan, menewaskan pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir.
Hilman memperoleh 1,888 undi, dengan 170 undi mengatasi Akmal Zahin, yang meraih 1,718 undi.
Faiz pula diumumkan memenangi jawatan naib ketua Pemuda selepas mendapat 1,790 undi, menewaskan Adun Seberang Jaya Izhar Shah Arif Shah (1,287) dan Adib Shaharuddin (490).
Sejumlah 111 bahagian Pemuda bersidang dan berdasarkan kertas undi diterima, jumlah kehadiran pada tahap 42% daripada perwakilan yang layak hadir, iaitu 9,076 orang.
JPP turut menerima 27 aduan dan bantahan, antaranya berkaitan peraturan sidang, tatacara pemilihan, prosedur pengeluaran kertas undi, keabsahan perwakilan dan prosedur pengiraan undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan