Omar Ahmad
am@hmetro.com.my
TERTUDUH (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi. FOTO Iskandar Ishak
Kota Tinggi: Seorang Pengurus Kafe Ikhwan milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Kluang didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi di sini, hari ini, atas empat pertuduhan memperdagangkan orang.
Tertuduh, Mohamad Suhaimi Mohd Sani, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Hayda Faridzal Abu Hassan.
Berdasarkan semua kertas pertuduhan, tertuduh bersama dua suspek yang telah dituduh iaitu Mahmad Hamal Tukiman dan Rabiahtul Adawiah Md Shash, serta dua suspek yang masih bebas, iaitu Afizah Arifin dan Norafiratul Abidah Ismail, didakwa mencapai niat bersama memperdagangkan orang berusia antara 30 hingga 57 tahun.
Perbuatan ke atas tiga wanita dan seorang lelaki itu adalah bagi maksud eksploitasi kerja paksa dengan cara ancaman di Ikhwan Resort Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar, Pengerang di sini, antara Mei 2024 hingga 1 Oktober lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid manakala peguam, Muhammad Zahier Rosli mewakili tertuduh.
Mahkamah menetapkan RM5,000 jaminan bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, beserta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di balai polis iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi.
Hakim membenarkan jaminan selepas Ahmad Khairuddin mengesahkan tertuduh tidak lagi tertakluk di bawah tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan