RK Anand
Pemimpin Amanah yang juga seorang pengamal perundangan berpengalaman sendiri, Mohamed Hanipa Maidin tampil membidas kenyataan Muhammad Shafee Abdullah yang menyifatkan dirinya tidak memenangi “seurat benag” dalam kes yang melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.
Tidak bersetuju dengan Shafee, yang kelihatan menyindir penghakiman Hakim Collin Lawrence Sequerah, Hanipa berhujah bahawa Shafee tidak memenangi "seurat benang" bukan kerana hakim tapi kes Najib itu sendiri.
“Peguam Najib merungut bahawa dia tidak memenangi seurat benang dan keterangan hearsay (khabar angin) diterima secara borong.
"Jawapan saya ialah anda tidak memenangi satu mata pun bukan kerana anda tidak bagus tetapi mungkin kerana anda telah mempertahankan kes yang lemah," katanya.
Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, Hanipa yang juga bekas ahli parlimen Sepang turut mengkritik Shafee kerana menyatakan ia adalah "jarang jika bukan satu-satunya kes" di mana "bukti hearsay" diterima.
"Saya fikir kenyataan ini, dengan segala hormatnya, sama sekali tidak wajar," kata bekas timbalan menteri undang-undang itu.
“Ia tidak sepatutnya datang daripada peguam kanan seperti beliau. Lebih buruk lagi, hakim tidak berada dalam kedudukan untuk mempertahankan dirinya daripada serangan nakal itu,” tambahnya.
Hanipa berkata anak guam Shafee masih mempunyai hak untuk membela diri dan jika keputusan itu tidak menguntungkan di Mahkamah Tinggi, Najib masih boleh mendapatkan penyelesaian di Mahkamah Rayuan, dan jika tidak berjaya, di Mahkamah Persekutuan.
“Selain itu, seorang pelajar undang-undang pun tahu bahawa walaupun sebagai peraturan am, sebarang keterangan hearsay akan dikecualikan dan dianggap tidak boleh diterima di mahkamah, tetapi trite law (peraturan asas) bahawa sentiasa ada pengecualian tertentu kepada mana-mana peraturan am termasuk peraturan mengenai bukti hearsay. Ini sangat asas.
“Pengecualian kepada peraturan hearsay adalah prima facie jelas dan nyata. Malah, hakim yang arif juga memetik kes Subramaniam lwn PP yang sering dipetik yang menggariskan peraturan asas membenarkan keterangan dengar hearsay diterima dengan sewajarnya oleh mahkamah,” tambahnya.
Hanipa, yang telah menjadi pengkritik tegar Najib berhubung peranannya dalam skandal 1MDB mendakwa bahawa orang ramai mungkin tidak berkongsi sentimen yang sama dengan anak guam Shafee berhubung keputusan hakim.
“Anak guamnya mungkin amat kecewa dengan penghakiman mahkamah.
"Tetapi saya percaya jika kita bertanya kepada orang ramai di jalanan, kecuali 'puak Bossku', kebanyakannya akan gembira dengan keputusan itu," tambahnya.
Pagi ini, mahkamah memerintahkan Najib membela diri atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB.
Berikutan itu, Shafee yang tidak senang hati berkongsi kekecewaannya dengan wartawan.
"Saya sangat terkejut bahawa ini mungkin satu-satunya kes yang saya pernah kendali di mana pada peringkat ini saya tidak menang walaupun satu mata, tiada.
"Lupakan tentang kain, seurat benang pun saya tak menang," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, laman Facebook Najib menyiarkan gambar beberapa pemimpin politik dan penyokong di kompleks mahkamah, termasuk veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan ketua pemuda parti itu, Dr Muhammad Akmal Salleh.
Tulisan itu mengeluh bahawa sukar untuk mencari sahabat sejati, terutama mereka yang akan hadir semasa kesusahan.
“Ramai yang tunjuk muka ketika mahu kesenangan. Ada yang bermuka-muka.
"Tetapi hidup ini memang penuh pengajaran. Dikala kepahitan hari ini, ada setitik kemanisannya dan penghargaan.
"Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang datang ke mahkamah hari ini.
"Bukan sahaja dari pemimpin-pemimpin parti politik, ataupun kenalan.
Dilihat begitu ramai dari kalangan penyokong dan rakyat biasa yang mengenang jasa dan merindui dasar pentadbiran dahulu. Ikhlas.
Inilah yang benar-benar sahabat sejati," katanya.
Pada 24 Okt lepas, Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara enam tahun atas sabitan kes SRC International, memohon maaf atas skandal 1MDB tetapi menegaskan dia tidak bersalah.
Bekas perdana menteri berusia 71 tahun itu mendakwa dia ditipu oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, serta eksekutif Petrosaudi Patrick Mahoney dan Tarek Obaid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan