"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas Menteri Perdagangan ditahan kes permit import gula

BHarianonline 
Bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Thomas Trikasih Lembong. - Foto Antara via REUTERS
Bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Thomas Trikasih Lembong. - Foto Antara via REUTERS
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia yang menyiasat kes rasuah telah menahan bekas Menteri Perdagangan yang kini menjadi pengkritik kerajaan, kerana disyaki memberikan permit import gula secara tidak wajar pada 2015 sehingga menyebabkan kerugian AS$25 juta.

Suspek, Thomas Trikasih Lembong, diberkas lewat semalam oleh pendakwa raya dari Pejabat Peguam Negara dengan didakwa memberikan permit itu kepada sebuah syarikat swasta ketika Indonesia memiliki lebihan bekalan gula, menurut pejabat itu.

"Ketika itu, Indonesia tidak perlu mengimport gula tetapi (Lembong didakwa) memberikan permit untuk mengimport 105,000 tan metrik gula kristal mentah," kata pendakwa raya, Abdul Qohar, pada satu sidang media.

Beliau mendakwa tiada konsultasi dilakukan dengan badan lain atau cadangan daripada Kementerian Industri berhubung perkara itu, selain keputusan terbabit menyebabkan kerugian mencecah 400 bilion rupiah.

Pejabat Peguam Negara menafikan siasatan mereka itu mempunyai motif politik.

Sementara itu, media melaporkan Lembong yang tangannya bergari serta memakai vest tahanan berwarna merah jambu, berkata selepas sidang media berkenaan: "Saya berserah segala-galanya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa."

Setakat ini, Reuters tidak dapat menghubungi Lembong atau peguamnya untuk mendapatkan komen.

Lembong adalah Menteri Perdagangan Indonesia antara 2015 hingga 2016 dan berpengalaman sebagai pembantu rapat kepada bekas Presiden, Joko Widodo (Jokowi).

Namun selepas tidak lagi memegang jawatan pada 2019, beliau menjadi antara pengkritik paling lantang terhadap kerajaan pimpinan Jokowi.

Pengeluaran gula Indonesia pada 2015 adalah 2.49 juta tan metrik, manakala penggunaan pula 2.12 juta. - REUTERS

Tiada ulasan: