Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
Ampang: Lelaki warga Myanmar yang memuat naik video memaki hamun dan memburukkan anggota berkuasa di laman sosial TikTok, ditahan polis semalam.
Penganggur berusia 30-an terbabit ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Pandan Indah, kira-kira 7 malam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan mengenai tular satu video berdurasi 45 saat yang dimuat naik pemilik akaun media sosial TikTok.
"Dalam video itu, suspek mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki hamun polis. Rakaman video terbabit sudah ditonton oleh lebih 160,000 orang.
"Susulan itu, polis yang menjalankan siasatan mengesan suspek dan menahannya di kawasan Pandan Jaya, kira-kira 7 malam tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azam berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amp.
Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 1 November ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 504, Seksyen 353 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan