FMT Reporters
PETALING JAYA: Anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kemaman atas pertuduhan mencuri enjin motosikal Yamaha RXZ dalam pekarangan IPD Kemaman, Julai lalu.
Faris Zahim Farizan, 32, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Dia yang bertugas di Balai Polis Chukai didakwa mencuri enjin motosikal milik seorang wanita di tepi bangunan pejabat pegawai penyiasat trafik IPD Kemaman, kira-kira antara 12.45 tengah malam hingga 1.15 pagi, pada 20 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara antara satu hingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwaan Polis, Muhammad Afif Mohd Amir, manakala Faris Zahim diwakili peguam Masliela Ismail, lapor Sinar Harian.
Sementara itu, Masliela merayu jaminan tersebut dikurangkan atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga serta berpendapatan rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM800 dengan seorang penjamin.
Wan Suhaila menetapkan 27 Nov untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Kemaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan