KOSMO
Pichugin dibawa ke hospital di bandar Magadan untuk menerima rawatan lanjut. - Telegram
MOSCOW – Seorang lelaki warga Russia ditemukan selamat selepas hanyut selama 67 hari bersama dua mayat di atas sebuah bot di Laut Okhotsk, lapor saluran berita CNN semalam.
Menurut media Russia, RIA Novosti, mangsa bernama Mikhail Pichugin, 46, berjaya diselamatkan, manakala abang dan anak saudaranya meninggal dunia.
Rakaman yang dikeluarkan oleh pendakwa raya Russia menunjukkan mangsa yang memakai jaket keselamatan, terkandas di atas bot pelampung jenis katamaran, dengan bendera merah dinaikkan pada tiang.
Seorang jurucakap Pejabat Pendakwa Raya Pengangkutan Russia, Elena Krasnoyarova berkata: “Bot itu dinaiki oleh dua lelaki dan seorang kanak-kanak berusia 15 tahun sebelum berlepas dari wilayah Khabarovsk ke Pulau Sakhalin pada 9 Ogos lalu.
“Semasa kejadian, hubungan dengan mereka terputus, manakala lokasi mereka tidak diketahui.
“Bot itu dikesan sekitar pukul 10 malam (waktu tempatan) kelmarin ketika ia terapung melepasi bot nelayan di Laut Okhotsk berhampiran penempatan Ust-Khayryuzovo,” tambah Krasnoyarova.
Pendakwa raya berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan kemungkinan berlaku pelanggaran peraturan keselamatan yang boleh menyebabkan Pichugin menghadapi pertuduhan.
“Pichugin dibawa ke hospital di bandar Magadan untuk rawatan perubatan,” lapor RIA. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan