Rosli Ilham
am@hmetro.com.my
MOHD Zoo menunjukkan lokasi penemuan bayi. FOTO Rosli Ilham
Dungun: Seorang pemandu lori menemukan bayi lelaki yang masih bertali pusat dan bernyawa ditinggalkan di sebuah parit kering dekat Pantai Petak Paka, di sini, petang tadi.
Mohd Zoo Abd Rahman, 44, berkata, bayi yang dianggarkan seberat kira-kira 2.5 kilogram itu ditemukan jam 2 petang.
Katanya, sebelum kejadian, dia baharu selesai mengambil muatan kayu dari sebuah kilang dan melalui kawasan pantai terbabit.
"Saya mengambil keputusan berhenti di situ untuk berehat memandangkan cuaca hari ini sangat panas dan mula berasa pelik bila melihat dua anak anjing dalam keadaan berlari-lari mengeliling sebuah beg berwarna jingga di situ," katanya.
Katanya, dia tiba-tiba terdengar suara tangisan bayi dengan kuat namun suara tangisan itu hanya seketika.
"Saya kemudiannya pergi mendapatkan beberapa pengunjung yang berehat di tepi pantai sebelum membuat pemeriksaan bersama mereka.
"Saya sangat terkejut selepas mendapati ada bayi di dalam beg terbabit yang dialas dengan kain yang sudah lusuh," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya, dia sangat sedih apabila melihat bayi tanpa pakaian itu berada dalam keadaan menggigil kesejukan sebelum melaporkan perkara itu kepada polis.
"Tidak lama selepas itu, polis dan kakitangan klinik kesihatan tiba di tempat kejadian sebelum membawa bayi itu untuk rawatan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, bayi berkenaan dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan