"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 lelaki mahu sertai perhimpunan pemilik motosikal Honda EX5, maut kemalangan

Rosli Ilham
bhnews@bh.com.my
Mayat Nur Hamizul dibawa anggota polis ke Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut.  NSTP/ ROSLI ILHAM
Mayat Nur Hamizul dibawa anggota polis ke Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut. NSTP/ ROSLI ILHAM
CHUKAI: Tiga lelaki dipercayai dalam perjalanan menyertai perhimpunan pemilik motosikal Honda EX5 di Kuala Terengganu maut dalam dua kemalangan berasingan di Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Kemaman, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata dalam kemalangan pertama, dua penunggang iaitu Mohamad Alif Haikal Mohd Razali,18, dari, Desa Keratong Indah, Bandar Tun Razak, Pahang dan Muhammad Aliff Haiqal Abdullah, 23, dari Kampung Alai Melaka, maut apabila motosikal jenis EX5 yang masing-masing ditunggang mereka dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu dipercayai bergesel sesama sendiri sebelum terbabas di Kilometer 322.4, dekat Kerteh pada kira-kira jam 6.35 pagi.

"Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa yang masing-masing bekerja di kedai makan tercampak di atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Hanyan berkata, dalam kemalangan kedua, seorang lagi penunggang, Nur Hamizul Abu Bakri, 22, mati serta-merta dalam kemalangan di Kilometer 316.8, dekat Kerteh, pada kira-kira jam 11.50 pagi.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berasal dari Kampung Ulu Slim, Slim River, Perak yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu, dipercayai terbabas dan melanggar besi penghadang lebuh raya.

"Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut.

"Dua kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Tiada ulasan: